Thursday 4 September 2014

Kisah Burung Kakaktua dan Ulama

Teks      : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar  : Google



Ada seorang ulama yang membeli seekor burung kakaktua untuk dipelihara. Beliau kemudiannya melatih burung ini menyebut 'La ilaha illallah'. Setelah beberapa lama, maka burung kakaktua tadi pun, pandai menyebut apa yang diajar oleh tuannya iaitu ulama tersebut.

Maka, burung kakaktua ini selalulah menyebut 'La ilaha illallah'. Tidak lekang dari mulut burung ini melafazkan kalimah ini. 

Lalu, anak murid dan tetamu ulama ini berasa takjub dengan kebolehan burung kakaktua ini berzikir. Ulama itu pun sangat berpuas hati kerana matlamatnya telah tercapai.

Suatu hari, seekor kucing yang telah lama memerhatikan burung kakaktua ini telah bertindak menerkam burung tersebut. Berlakulah pergelutan antara kucing dan burung kakaktua. 

Apabila berlaku pergelutan, burung kakaktua ini tidak lagi mengucapkan kalimah 'La ilaha illallah'. Sebaliknya, yang kedengaran hanyalah bunyi erangan dan tempikan oleh burung ini.

Akhirnya, burung kakaktua ini mati. Ulama yang juga pemilik burung kakaktua ini, rupa-rupanya memerhatikan kejadian yang berlaku di antara kucing dan burung kakaktua dari awal sehinggalah burung kakaktua itu menemui ajalnya.

Lalu ulama ini menangis tidak henti-henti. Anak muridnya datang dan cuba untuk menenangkannya. Malah, mereka berjanji untuk membelikan burung kakaktua yang baru untuknya.


Kata ulama itu, "Aku menangis bukanlah kerana aku kehilangan burung kakaktua itu. Aku mampu membelinya jika aku mahu. Sebenarnya aku menangis kerana mengenangkan keadaan diriku kelak. Adakah di akhir hayatku nanti aku mampu menyebut kalimah 'La ilaha illallah'?"

"Burung kakaktua itu aku latih sekian lama. Setiap hari dan ketika burung itu menyebut kalimah tersebut dengan mudah dan lancar. Malangnya ketika burung ini berdepan dan bergelut dengan kematian langsung tidak kedengaran kalimah tersebut diucapkannya."

"Aku takut aku akan menjadi seperti burung kakaktua itu. Sekarang ini memang senang untuk aku menyebut kalimah 'La ilaha illallah'."

"Adakah aku akan mampu menyebut kalimah ini semudah ini ketika aku sedang nazak dan berdepan dengan sakaratulmaut? Aku bimbang aku tidak boleh menyebutnya seperti mana yang terjadi kepada burung kakaktua milikku."

Sedangkan ada hadis daripada Mu’az Bin Jabal, bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang akhir perkataannya ialah ‘La IlahaIllallah’ maka dia akan masuk syurga”. (Riwayat Abu Daud)




Rujukan : Ustaz Dr. Muhammad Lukman Ibrahim, pensyarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

No comments:

Post a Comment


Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015