Showing posts with label Muhasabah. Show all posts
Showing posts with label Muhasabah. Show all posts

Wednesday 8 April 2015

Tidur Lepas Subuh

Sumber : Siti Mariam Ahmad (facebook)

Tidur lepas subuh, bagi pandangan orang soleh.
 
Sedikit perkongsian. Sebelum ini, aku sempat berjumpa dengan seorang soleh.
Hatinya itu terlekatnya ilmu basyirah yg tinggi iaitu ilmu firasat yg sangat kuat. Jadi sesiapa yg dekat dengannya, hati-hati. Apa yang terlintas di hati dan fikiran, pastikan niatkan perkara yang baik.


Aku perbetulkan niat, adab aku, tingkah laku bila tiap kali berdepan dengan beliau ini.


Diberi peluang, aku terus bertanya.
"ustaz, macam mana nak buat supaya tak tidur lepas subuh?" 
Dia menjawabkan,
"tak pernah wujud istilah tidur lepas subuh".
Ohhh, "jadi ustaz, ape hukum tidur lepas subuh?
"Kau nak aku jawab dalam mazhab kau atau mazhab aku? Dia mengatakan lagi.
Aku bisik dalam hati "ada byk mazhab ke dia ni?".
Jangan kau nak menyatakan perkara yg kau tak boleh sorokkan dengan aku.
"Astaghfirullah, dia membaca lintasan hati aku..."
"maaf ustaz".


Aku cakap dekat dia,
"dua dua mazhab lah ustaz". 
Dia kata, kalau dengan cara hidup kau, cara amalan kau, mazhab kau, kau teruskanlah tidur lepas subuh dan jadilah kau seperti anjing mati.


Aku nak menangis.
"Tapi kalau dalam mazhab aku, cara aku, amalan yang aku tau, orang yang macam ini dia jatuh KUFUR!"


Aku senyap.
"kenapa ustaz?"


Dia menjawab, orang yang macam ini SOMBONG dengan Allah. Dia berlagak depan Allah!. Dia menolak pemberian Allah! Bagaimana dia boleh tidur sedangkan Allah itu menurunkan rezekinya, rahmatnya setiap pagi selepas terbit fajar, tapi dia boleh tidur. Umpama mcm kalau kau seorang yang jutawan, bawa duit yang berjuta-juta berjumpa dengan seorang miskin papa kedana setiap hari. Tetapi apa yang dilakukan oleh fakir tadi kepada kau? Dia tidur dan tak mempedulikan langsung duit kau sedangkan dia miskin. Jadi ape yg ada pada fikiran kau? Mesti kau akan kata "dia ni dah lah miskin nak mampus, sombong pulak tu". 


Aku tersentak.
Dia berkata lagi
"orang yang tidur lepas subuh dan lepas itu bangun, ada hati lagi nak Dhuha, Allahuakbar. Orang macam ini lagi tak malu depan Allah. Tadi dia tolak pemberian Allah. Sekarang mahu tarik semula rezeki dan rahmat Allah. Sesungguhnya manusia itu jahil. Sepatutnya orang ini perlu bertaubat dulu sebelum nak solat dhuha". 


Allahuakbar.
Bila duduk dengan orang yang setiap masa takutkan Allah, baru sedar macam mana amalan kita selama ni. Betapa hinanya fikiran aku selama ini. Jauh beza nak banding amalan kita yang tak tau Allah terima ke tak. Tapi hidup setiap hari macam tak rasa banyak dosa. Allahhh... 
Kita ni banyak dosa, bukan setakat banyak dosa bahkan bermandikan dosa.


Dia kata lagi
"orang yang riak kalau bertaubat Allah ampunkan. Kalau orang yang sombong apa kau rasa Allah nak ampunkan sedangkan itu adalah sifat iblis? 

Allahuakbar.


Aku tanya tentang tidur lepas subuh je dah rasa macam nak ke neraka. Belum tanya hal lain lagi.
Dia kata lagi
"ramai orang muda kata perlu tidur lepas subuh sebab tak cukup tidur malam tadi sebab main futsal lah, jalan-jalan dan apa kau tak pernah fikir siang dan malam itu adalah sunnatullah?"
"Allah dah kata dalam Al-Quran, siang aku jadikan untuk kau bekerja, malam untuk kau berehat. Kalau sunnatullah kau ubah ikut kepala otak kau sendiri, sebab itulah hidup kau tunggang langgang.
Kau siapa? Nak ubah sunnatullah?


"Allahuakbar, jauhnya beza pemikiran kita dengan orang yang takut dengan Allah. Orang yang dekat dengan Allah. Hidup memang kena pandu Al-Quran dan hadis. Tapi, carilah orang yang boleh memperjelaskan lagi apa yang ada dalam Al-Quran dan hadis itu. Janganlah asyik meminta dalil dari orang itu orang ini dan memproses dengan kepala sendiri. Ada orang bawa Al-Quran ke hulu ke hilir. Tak salah, tapi carilah panduannya dengan baik supaya tak tersalah tafsir hukum ikut nafsu.
Idris al Marbawi pun ada menukilkan dlm Bahrul Madzi, dia mengatakan siapa yang melakukan sesuatu yang sia-sia di malam hari sehingga terlewat subuh keesokannya, maka keseluruhannya malam tadi telah menjadi haram. Jangan memandang haram itu seperti biasa. Umpamakanlah malam yang haram itu seperti engkau memakan daging Khinzir. Seperti engkau meminum arak.

‪#‎remindformyself‬




Thursday 2 April 2015

Kisah Zaid bin Harithah

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori

Selepas berkahwin, Khadijah binti Khuwailid telah menghadiahkan seorang budak kepada Rasulullah s.a.w. sebagai pembantu kepada baginda. 

Budak yang dimaksudkan ialah Zaid bin Harithah. Seorang budak berkulit hitam tetapi mempunyai hati yang sangat putih di samping pandai dan ikhlas bekerja.

Zaid berasal dari Yaman dan bapanya seorang yang kaya. Ketika beliau dan bapanya dalam perjalanan membawa barang dagangan, mereka telah dirompak di tengah padang pasir. Bapanya telah dijadikan hamba dan dijual di tempat lain. Sementara Zaid pula dijual di Makkah.

Setelah beberapa lama, Harithah iaitu bapa Zaid berjaya menebus dirinya. Lalu, dia mula mencari anaknya. Puas mencari di merata tempat, bapanya telah diberitahu bahawa mereka pernah melihat seorang budak seperti Zaid di Makkah.

Harithah kemudiannya ke Makkah untuk mencari anaknya. Sesampainya di sana, dia segera menemui Khadijah binti Khuwailid kerana dia mendapat tahu bahawa Khadijah telah membeli anaknya. Apabila ditanya kepada Khadijah tentang anaknya, Khadijah mengakui akan hal tersebut. Namun, Zaid telah pun dihadiahkan kepada suaminya.

Lantas Harithah pergi menemui Rasulullah s.a.w,.

Kata Harithah, "Aku datang dari jauh bersama rombongan dengan membawa harta yang cukup banyak. Aku datang sebab nak beli balik anak aku yang bernama Zaid. Aku tahu dia ada dengan kamu kerana Khadijah hadiahkan kepada kamu. Aku nak beli balik hamba itu. Beritahu saja berapa harganya. Aku orang kaya. Aku sayang anak aku. Aku nak beli."

Nabi s.a.w terus menjawab, "Betul, Zaid sekarang berada denganku. Tapi aku sayang dekat dia."

Kata Harithah, "Aku bapa dia. Aku lebih sayang kepada dia. Ini bapa saudaranya, juga sayang kepadanya."

"Baik. Aku nak tawarkan kepada kamu sesuatu yang lebih baik daripada yang kamu tawarkan kepada aku."

"Apa tawaran kamu?" tanya Harithah.

"Tawaran aku, kamu tak payah beli. Harta kamu, kamu ambil balik. Usah bayar walau sedikit pun. Sekarang ni, Zaid sedang berada di pasar. Kamu kenal dia kan? Kamu pergi sendiri tanya kepada dia di pasar dan bawa dia kepada aku. Lepas itu, kamu tanya dia. Kamu bapa kandungnya, itu bapa saudaranya. Aku ni bapa angkatnya. Siapa yang dia nak pilih?"

Apabila Zaid berada di situ. Maka Zaid pun ditanya, "Kamu kenal ini siapa?"

Jawab Zaid, "Aku kenal. Ini bapa aku. Ini bapa saudara aku (dan yang lain-lain)"

Zaid kenal semua yang datang.

Nabi kata kepada Zaid, "Mereka datang hendak membebaskan kamu. Nak mengambil kamu untuk balik ke Yaman dan tinggal bersama-sama mereka. Mereka tawarkan harta yang banyak kepada aku seolah-olah jika aku benarkan kamu pulang, aku akan jadi orang kaya yang penuh dengan harta benda. Tapi Zahid, kamu buatlah pilihan. Kamu sudah cukup dewasa untuk memilih."

"Kalau kamu pilih mereka, silakan. Pulanglah kamu ke Yaman. Jika kamu pilih aku, terserahlah kepada kamu."

Zaid tidak berfikir panjang. Beliau terus bersuara, "Kalau aku pilih mereka, aku hanya dapat dua sahaja. Aku dapat bapa, aku dapat bapa saudara. Tapi kalau aku pilih kamu, aku dapat tiga. Kamulah bapaku. Kamulah bapa saudaraku dan lebih daripada itu, kamulah kekasih aku. Rasulullah, aku pilih kamu."

Menangis Harithah mendengar pengakuan anaknya itu.





Wednesday 1 April 2015

Tuhanku


Tuhanku,

dalam termangu

aku masih menyebut namaMu.



Biar susah sungguh mengingat

kau penuh seluruh.



~ Chairil Anwar, Doa.

Tuesday 31 March 2015

Ku Tinggalkan Doa

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori

"Nak beli buku?" tanya si gadis penjual buku.

Saya mengangguk sambil tersenyum.

"Saya nak ke tandas sekejap. Boleh tunggu?"

Saya angguk lagi lagak seorang bisu. 

"Tunggu ye. Saya nak solat. Tak lama, kejap je."

Angguk tidak, geleng pun tidak. Saya kurang pasti.

Mahu minta ditunggu, sungguh tidak patut. Tegakah saya menyuruh seseorang menangguhkan solat kerana saya. Sedang jam sudah menunjuk ke angka dua.

Sudahnya saya hanya membalas dengan senyuman. Mahal sungguh perkataan saya hari ini. Macam ada emas dalam mulut saya.

Tunggu dan terus menunggu. Si dia masih belum keluar.

Saya batalkan hasrat untuk membeli buku dan kembali ke kereta.

Saya dihimpit rasa bersalah. Bukankah saya memang mahu membeli buku dan apabila saya diminta menunggu, saya sendiri yang setuju.

Maka, dengan rasa bersalahnya saya tinggalkannya dengan doa. Mudah-mudahan Allah memberi rezeki berganda-ganda sebagai ganti kerana Dia meninggalkan urusan dunia dan mengutamakan Allah. Suatu urusniaga yang tidak akan pernah rugi, Insya-Allah.

Rezeki itu Allah yang bagi. Sedang pelanggan itu Allah yang hantar.










Thursday 26 March 2015

Dekat

Teks      : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar : Google

Ya Allah, Engkau dekat.

Lebih dekat dari urat leher kami.





Wednesday 25 March 2015

Neraka

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori

Ustaz Badli Shah memulakan perbincangan dalam slot Cinta Ilmu dengan bertanya kepada para penonton.

Tuan-tuan bayangkan neraka ini bagaimana? 

Neraka ini bukan satu bekas yang berisi api. Neraka ialah suatu kehidupan. Di dalamnya ada rumah, di dalam juga ada sungai. Tetapi sungai yang mengalir ialah sungai nanah dan juga darah.

Neraka ini berjiran dengan syurga. Ahli neraka akan minta kepada ahli syurga untuk dapat diberikan sedikit minuman dari syurga untuk menghilangkan dahaga. Namun, kata ahli syurga air di dalam syurga ini diharamkan kepada ahli neraka untuk meminumnya.

Na'uzubillah. 

Ya Allah, kami ini tidak layak untuk ke syurgaMu. Tetapi kami tidak pula sanggup ke nerakaMu.


Tuesday 24 March 2015

Luar Biasa

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori

Tiba-tiba saja keyakinan saya setinggi gunung. Tidak ada gentar, tidak langsung berasa gusar.

Saya seolah-olah individu berbeza. Ada kekuatan yang mengalir dalam segenap urat dan nadi. Kekuatan yang luar biasa.

Bersandarkan kepada yang Maha Kuat, kita jadi kuat.

Mana mungkin kita menjadi kuat dengan berpaut pada sesuatu yang bersifat lemah.

Keyakinan dan kekuatan yang teguh terhasil kerana di hati ini ada Allah. Penyerahan total kepada Allah.

Yakin itu bukan hanya di bibir tetapi perlu tertancap utuh di dasar hati. 

Sebut, fikir, percaya dan yakin dengan sungguh-sungguh.

Sehingga nikmatnya meresap ke dalam diri. 

Justeru, Allah itu lebih dekat berbanding urat leher.



Thursday 19 March 2015

Allah Tidak Akan Biarkan Kita

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori

Teringatkan saya akan kata- kata yang disampaikan oleh Ustaz Abdullah Amin ketika membicarakan tentang salah satu nama Allah iaitu Ar-rahman.

Kata ustaz,

Allah telah menyejukkan api yang membakar Nabi Ibrahim a.s.

Allah yang sama juga telah memerintahkan agar laut terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa a.s. dan para pengikutnya daripada Fir'aun.

Allah yang sama juga telah memenangkan Rasulullah s.a.w. dalam perang Badar meskipun jumlah umat Islam ketika itu sedikit dan tidak ada senjata untuk berperang.

Allah tidak akan biarkan kita.

Allah tidak akan tinggalkan kita.

Takkanlah Allah tak nak tolong kita di saat kita memohon pertolonganNya?

Kata ulama, Allah memang mahu memakbulkan doa kita. Tinggal lagi kita saja, sama ada kita minta atau pun tidak. Itulah tanda sifat rahman dan rahim Allah.

Allah Tidak Akan Biarkan Kita

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori

Teringatkan saya akan kata- kata yang disampaikan oleh Ustaz Abdullah Amin ketika membicarakan tentang salah satu nama Allah iaitu Ar-rahman.

Kata ustaz,

Allah telah menyejukkan api yang membakar Nabi Ibrahim a.s.

Allah yang sama juga telah memerintahkan agar laut terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa a.s. dan para pengikutnya daripada Fir'aun.

Allah yang sama juga telah memenangkan Rasulullah s.a.w. dalam perang Badar meskipun jumlah umat Islam ketika itu sedikit dan tidak ada senjata untuk berperang.

Allah tidak akan biarkan kita.

Allah tidak akan tinggalkan kita.

Takkanlah Allah tak nak tolong kita di saat kita memohon pertolonganNya?

Kata ulama, Allah memang mahu memakbulkan doa kita. Tinggal lagi kita saja, sama ada kita minta atau pun tidak. Itulah tanda sifat rahman dan rahim Allah.

Tuesday 17 March 2015

Santai-Santai

Teks      : Nor Adilah Ahmad Shokori

Santai-santai saja petang ini. Saya ingin memetik dialog antara Jepp dan Shuib (Sepahtu) dalam program Maharaja Lawak Mega.



Shuib : Aku, lautan api sanggup aku renangi.

Jepp   : Lautan api? Teh o panas pun kau tiup!

Entri ini bukan mahu bercerita tentang Jepp atau Shuib. 

Bukan juga mahu berbicara tentang lawak mereka. 

Cuma saya ingin membawa kita semua melihat dalam konteks yang berbeza. Agar sama-sama kita muhasabah.

Bayangkan api neraka yang berganda-ganda panasnya. Mampu ke kita?

Air mendidih kena pada kulit pun boleh melecur. Meraung kita. Inikan pula api neraka. Na'uzubillahi min zalik.



Wednesday 11 March 2015

Luruskan Niat

Teks      : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar : Google

Keterujaan saya bercerita dengan beberapa orang biarlah berakhir setakat itu. Saya gembira. Itu saja. Perasaan yang mahu dikongsi dengan beberapa orang terdekat. 

Jika diizinkan Allah, diberi peluang lagi selepas ini maka saya akan lebih berhati-hati. Balik kepada niat dan tujuan asal saya menulis. 

Menulis cerita begitu, bukan untuk berbangga. Tidak ada apa untuk dibangga. Apa yang mahu disampaikan kepada pembaca ialah mintalah kepada Allah, Dia tidak pernah mengecewakan. 

Sesukar apa pun hidup. Sesempit mana pun ruang yang ada. Allah sentiasa ada. Dia tidak pernah sekalipun meninggalkan kita. Kita yang selalu melupakanNya.



Moga niat kekal lurus kerana itulah yang saya dan kita semua mohon setiap waktu. Jika niat dan tujuan bukan kerana Allah, yang berhasil hanyalah lelah.

Ya Allah, bantu kami luruskan niat dan tujuan hidup kami!
Jadikan hanya Engkau yang kami tuju.
Hidup kami, mati kam hanya keranaMu!

Tuesday 3 March 2015

Kisah Hasan Al-Basri - Jangan Sombong

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori

Kisah ini tentang Hasan Al-Basri. Dikongsikan oleh seorang rakan di group Whatsapp. Saya coretkan di sini untuk dihadam oleh kita semua.

Suatu hari di tepi sungai Dajlah, Hasan Al-Basri melihat seorang pemuda duduk berdua-duaan dengan seorang perempuan. Di sisi mereka terdapat sebotol arak.

Kemudian Hasan berbisik di dalam hati, "Alangkah buruk akhlak orang itu dan baiknya kalau dia seperti aku!"

Tiba-tiba Hasan melihat sebuah perahu di tepi sungai yang sedang tenggelam. Lelaki yang duduk di tepi sungai tadi segera terjun untuk menolong penumpang perahu yang hampir lemas kerana karam.

Enam daripada tujuh penumpang itu berhasil diselamatkan.

Kemudian dia berpaling ke arah Hasan Al-Basri dan berkata, "Jika engkau memang lebih mulia daripada saya, maka dengan nama Allah, selamatkan seorang lagi yang belum sempat saya tolong. Engkau diminta menyelamatkan seorang saja, sedang saya telah menyelamatkan enam orang."


Bagaimanapun Hasan Al-Basri gagal menyelamatkan yang seorang itu. Maka lelaki itu berkata kepadanya, "Tuan, sebenarnya yang duduk di samping saya ini ialah ibu saya sendiri, sedangkan botol itu hanya berisi air biasa, bukan anggur atau arak."

Hasan Al-Basri terpegun lalu berkata, "Kalau begitu, sebagaimana engkau telah menyelamatkan enam orang tadi daripada bahaya tenggelam ke dalam sungai, maka selamatkanlah saya daripada tenggelam dalam kebanggaan dan kesombongan."

Lelaki itu menjawab, "Mudah-mudahan Allah mengabulkan permohonan tuan."


Semenjak itu, Hasan Al-Basri selalu merendahkan hati bahkan menganggap dirinya sebagai makhluk yang tidak lebih daripada orang lain.

Jika Allah membuka pintu tahajud untuk kita, janganlah lantas kita memandang rendah saudara seiman yang sedang tidur nyenyak.

Jika Allah membuka pintu puasa sunat, janganlah kita memandang saudara seiman yang tidak ikut berpuasa sunat.

Boleh jadi orang yang gemar tidur dan jarang melakukan puasa sunat itu lebih dekat dengan Allah, daripada diri kita. Ilmu Allah amatlah luas.

Jangan pernah ujub dan sombong dengan amalanmu.

Saturday 28 February 2015

Hitam Tetap Hitam

Teks       : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar : Google


Hitam tetap hitam. Tidak akan jadi putih.


Salah tetap salah. Meskipun semua orang cuba membenarkannya.



Kebenaran akan terus benar meskipun hanya tinggal kita yang masih percaya.



Ibarat matahari yang muncul di siang hari. Hilang menjelang malam. Adapun matahari tetap juga ada sekalipun tidak kelihatan.






Friday 27 February 2015

Hari Jumaat - Kenapa Disunatkan Mandi ?

Teks      : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar : Google



Kredit : alkahfi.com.my

Hari Jumaat macam ini, selalunya orang yang paling bising di rumah saya ialah arwah tok ayah. Pasti akan kedengaran dua soalan wajib ini.

"Dah potong kuku?"

"Dah mandi sunat Jumaat ka belum?"

Biasanya tidak ada jawapan balas sebab jawapannya tok ayah sudah tahu. Kalau tidak disuruh, pastinya tidak akan buat. 

Sama juga halnya pada pagi hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Saya selalu terlupa. 

Kadang-kadang saya sudah siap mandi dan keluar bilik air. Tetapi tetap disuruhnya saya mandi sekali lagi gara-gara saya tidak berniat untuk mandi sunat.

Biasalah budak-budak. Patah balik juga ke bilik air sambil mulut mengomel, "Sunat kalau tinggal tidak berdosa, cuma tidak dapat pahala."

Dari luar bilik air saya dengar suara tok ayah. Kuat.

"Kalau buat lagi baik. Allah suka, nabi (s.a.w) sayang. Buat ja la, bukan kena keluaq duit sekupang pun."

Dalam hati saya, "Alamak tok ayah dengaq la."

Saya membesar bersama pesanan tersebut tanpa tahu hikmah di sebaliknya. Tidak terlintas untuk bertanya.

Dalam video Ustaz Ismail Kamus tentang Kelebihan Hari Jumaat, beliau berkongsi tentang,

"Apabila berada pada hari-hari istimewa dalam Islam iaitu pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha serta hari Jumaat kita disunatkan untuk mandi.

Kenapa mandi pada hari-hari tersebut sunat hukumnya?

Sebabnya pada hari tersebut kita akan berada di tempat yang ramai orang berkumpul (untuk solat). Jadi, mesti jaga kebersihan diri. Sunat berwangi-wangian supaya orang lain berasa selesa dan tidak terganggu dengan bau kita."

Oh, indahnya Islam sehingga hal sebegitu pun dijaga.

Wallahu'alam.



Thursday 12 February 2015

Tidak Pernah Menghampa

Teks      : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar : www.suarapemikir.com


Peduli apa orang mahu kata.

Bila kita meminta padaNya.


DIA tidak pernah menghampa.

Tiga tak dapat, Dia mahu beri empat.


Ikat ketat-ketat.

Pegang erat-erat.

Dakap kuat-kuat.



Monday 9 February 2015

Tiga Sayap

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori


Imam Abdul Rahman Al-Mahdi merupakan seorang lelaki yang pintar dan luas pengetahuannya. Walaupun begitu, beliau seorang yang sangat merendah diri.

Kelebihan yang dimiliki olehnya menjadi buah mulut pelbagai lapisan masyarakat di kota itu. Ramai yang sangat ingin berguru dengannya terutamanya raja. Baginda mahu agar puteranya dididik oleh Imam Abdul Rahman Al-Mahdi.

Salah seorang putera yang pernah menuntut ilmu dengan beliau bernama Putera Jaafar bin Sulaiman. Pernah satu ketika putera ini bertanya kepada gurunya (Imam Abdul Rahman Al-Mahdi).

"Bukankah manusia ini makhluk yang paling mulia?"

"Ya," jawab gurunya.

"Kalau begitu, Allah telah memuliakan manusia dan menciptakan kita sebagai manusia sebagai sebaik-baik kejadian. Oleh itu wahai Imam, saya ingin sangat nak tahu bagaimana agaknya rupa Allah s.w.t?"


Putera itu menyambung lagi.


"Saya membayangkan..."

"Cukuplah wahai anakku," Abdul Rahman memintas kata-kata anak muridnya.

"Mengapa Imam tidak benarkan saya terus bercakap?" tanya Putera Jaafar meminta penjelasan daripada gurunya.

"Tidakkah kamu membaca firman Allah bahawa, tidak ada yang sepertiNya?"

"Saya tahu, Imam. Tapi saya cuma ingin membayangkan saja."

"Kalau macam tu, jawablah soalan saya. Sekiranya kamu boleh menjawab soalan saya, maka saya akan menerima imaginasi kamu itu."

"Baiklah, saya setuju. Tanyalah."

"Ulama mentafsirkan ayat - Sesungguhnya dia telah memperlihatkan tanda-tanda (kekuasaan) Tuhannya yang paling besar iaitu bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah melihat Jibril dengan 600 sayap. 

Sekarang, gambarkan kepada saya tentang makhluk yang mempunyai tiga sayap. Kamu juga kena beritahu kepada saya di mana letaknya sayap yang ketiga itu."

"Saya tak pernah nampak makhluk macam tu. Tengok pun tak pernah, macam mana saya nak bayangkan, wahai Imam."

Abdul Rahman Al-Mahdi tersenyum.

"Jika kamu tidak boleh menceritakan tentang makhluk, macam mana pula kamu nak jelaskan tentang penciptaNya?"

"Benar katamu wahai guruku. Kamu berjaya membetulkan kesilapan saya dan meyakinkan saya. Saya bersyukur kerana menjadi salah seorang pelajarmu."


Pengajaran:

Gunalah akal untuk berfikir tentang kejadian dan ciptaan Allah s.w.t dan jangan gunakan akal untuk berfikir tentang zat Allah. Sebaik-baik fikir ialah fikir yang membawa kita hampir kepada Allah s.w.t



Thursday 29 January 2015

Takdir Mengatasi Tadbir

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori


Saya mungkin seperti kebanyakan 'orang akaun' yang lain, sangat berhati-hati dalam berbelanja. Bukan kedekut cuma ingin memastikan wang yang dibelanjakan tidak sia-sia.

Disebabkan saya mempunyai beberapa masalah dengan telefon sedia ada, maka saya terpaksa membuat pertimbangan untuk mendapatkan telefon yang baru. Saya mengambil masa yang agak lama untuk membuat pembelian tersebut.

Banyak perkara yang berlegar-legar di kepala saya. Apatah lagi bagi seseorang yang kurang meminati gajet seperti saya. Pada awalnya, saya hanya sekadar 'jalan-jalan' di alam maya. Tujuannya untuk mendapatkan sedikit gambaran awal sebelum beralih ke peringkat seterusnya.

Walaupun cara ini kelihatan leceh dan membuang masa, namun sedikit sebanyak membantu saya mengecilkan skop carian saya dan merancang bajet dengan lebih baik. 

Kali ini, kerja saya menjadi lebih mudah. Skop pencarian saya terarah kepada mencari telefon yang sesuai dengan bajet yang saya ada. Hasilnya, saya berjaya menyenarai pendek beberapa model telefon. 

Pencarian telefon itu berkesudahan dengan saya membeli telefon dari jenama yang langsung saya tidak ingin beli meski pun jenama tersebut sangat terkenal. Saya mempunyai alasan tersendiri setelah membaca pandangan dan ulasan individu di internet.

Mesti ada yang berfikir, 'Apalah nak beli telefon pun bukan main panjang lagi cerita.'

Lihatlah betapa gigihnya saya membuat kajian itu dan ini. Makan masa dan tenaga.

Macam mana saya boleh pergi beli jenama yang saya tidak suka? Saya masuk ke outlet hanya untuk tengok-tengok. Tidak disangka-sangka saya keluar dengan membeli salah satu model telefonnya.

Apabila takdir mengatasi tadbir.

Usaha saya sebagai manusia berusaha sungguh-sungguh dengan apa yang terdaya menurut kemampuan saya sebagai manusia. 

Demikian juga dalam hidup kita. Allah tidak suruh kita duduk dan tunggu saja. Kita disuruh bekerja dengan akal dan kudrat yang dikurnia. Sebagai manusia kita berharap apabila kita buat begini maka hasilnya akan begini.

Bagaimana jika keputusannya tidak seperti yang kita harapkan?

Marah?

Kecewa? 

Putus asa?

Tenang. Sabar. Reda dengan apa yang telah Allah tetapkan untuk kita.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah Al-Baqarah : 216)

Apa tindakan kita seterusnya?

Usaha dan terus berusaha. Itu tugas kita sebagai manusia. Cari guru, tambah ilmu. Ada ilmu amal selalu. Doa jangan pernah jemu. 

Doa. Usaha. Tawakal.

"Apabila kamu telah berazam (bertekad dan berusaha) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah sukakan golongan yang bertawakal." (Surah Ali Imran : 159)

Wallahu'alam.



Wednesday 28 January 2015

40 Tahun Taubat Tanpa Henti

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori


Rasulullah s.a.w. telah menegaskan bahawa tidak beriman seseorang sehingga dia mencintai saudaranya, seperti dia mencintai dirinya sendiri.

Itulah peranan sesama muslim. Ibarat satu jasad. Cubit paha kanan, paha kiri akan terasa sakit. Bagaimana diri mampu tidur dengan lena jika salah satu anggota berasa sakit? 

Justeru, mana mungkin seorang Muslim boleh bergembira bila mana ada saudaranya lain sedang sengsara?

Ini mengingatkan saya tentang sebuah kisah yang diceritakan oleh Ustaz Zul Ramli. 

Kisahnya, pada suatu hari, ketika Shaikh Abdul Qadir Al-Jailani sedang berjalan keluar dari masjid, beliau didatangi oleh seseorang yang berlari tercungap-cungap.

Orang itu memaklumkan kepadanya bahawa bahawa Baghdad terbakar keseluruhannya. Semua rumah kedai di lorong tersebut musnah terbakar kecuali kedai Shaikh Abdul Qadir.

Apabila mendengar berita tersebut, secara spontan beliau (Shaikh Abdul Qadir) menuturkan Alhamdulillah kerana kedainya terselamat.

Beberapa ketika kemudian, beliau tersedar betapa jahat dan berdosanya beliau kerana masih boleh menyebut Alhamdulillah ketika saudara yang lain sedang diuji.

Beliau berasa malu di atas akhlak yang dipamerkannya lantas bertaubat kepada Allah selama 40 tahun tanpa henti.

Mungkin secara tidak sengaja, kita juga pernah berkata demikian. 

"Alhamdulillah, kita tak kena (musibah)."

Kita Alhamdulillah? Dalam keadaan orang lain menderita?

Renung-renungkan. Bukan kamu. Tetapi saya juga kita semua.

Wallahu'alam.



Wednesday 26 November 2014

Sehidup Semati

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori


Kami ini milikMu dan hanya kepadaMu kami akan dikembalikan.

Perit. Pedih. Perpisahan atas nama kematian.


Itulah takdir yang telah tertulis. Berat rasa ujian.

Belum pun reda kesedihan yang kami lalui, nenda saya menyusuli pemergian isteri tercintanya ke alam sana.

Jarak waktu yang sungguh singkat. Hanya berselang 10 hari. Bagaikan telah berjanji untuk sehidup semati.


Masih saya ingat ketika tok saya meninggal dunia, tok ayah beria-ia memujuk saya. Katanya,

"Hang sayang tok hang kan? Kalau hang ingat kat dia, baca Fatihah hadiah kat dia. Dia dah duk di tempat lebih baik."

Ketika itu, kami sama-sama menangis.

Di mata kami, tok dan tok ayah lebih daripada sekadar nenek dan datuk. Mereka juga mak dan ayah bagi kami. Tiga generasi tinggal di bawah satu bumbung sejak sekian lama. Ayah saya sendiri selaku menantu, turut terhutang budi kepada kedua mertuanya ini.

Justeru, apabila tok ayah pula pergi, kami berasa dunia ini terlalu sunyi. Hiba membungkam dalam dada. Namun, di antara semua, mak yang cukup terpukul dengan kehilangan ini. Berturut-turut tanpa kami sangka secepat ini.

Saya temui tabah tatkala menilik sirah, dalam meneguk ibrah.

Kisah Rasulullah SAW yang kehilangan bapa saudaranya yang sentiasa membela dan mempertahankannya. Namun, perginya bapa saudaranya tanpa melafazkan kalimah syahadah.

Saya dan keluarga, masih boleh mendoakan kedua-duanya. Namun, tidak bagi baginda. Baginda hanya mampu berdoa supaya diringankan azab ke atas bapa saudaranya. Pastinya kesedihan itu berganda.

Saya yakin, sahabat-sahabat saya di sini adalah sahabat yang BAIK.

Oleh yang demikian, saya ingin memohon agar sahabat sekalian dapat menghadiahkan bacaan AL-FATIHAH kepada arwah Haji Hashim dan Hajah Che Teh.

Hanya Allah sahaja yang dapat membalas kebaikan kalian.

"Ya Allah, aku menadah tangan yang penuh dosa ini memohon keampunan untuk mereka. Ampunkanlah mereka, kasihanilah mereka, maafkanlah mereka. Jadikan kubur mereka satu taman dari taman-taman syurga. Janganlah Kau jadikan kubur mereka satu lubang dari lubang-lubang neraka.

Andai kata sekarang ini mereka sedang diazab, cukuplah ya Allah. 
Cukuplah ya Allah. 
Cukuplah ya Allah. 
Mereka tidak akan mampu menanggungnya.


Ampunkanlah mereka. Maafkanlah mereka. Kasihanilah mereka. Rahmatilah mereka. Wahai Allah yang Maha Baik, Maha Pengasih dan Maha Penyayang."

Amin. Amin. Amin.


Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015