Thursday 12 March 2015

Lakukan Untuk Diri Sendiri

Teks  : Nor Adilah Ahmad Shokori
Imej   : Google

Saya menahan sebak menonton kisah realiti berbahasa Inggeris. Seorang anak muda berusia 21 tahun dibesarkan oleh seorang ibu tunggal.

Anak muda yang ingin mengubah cara hidupnya. Sejak sekian lama, dia dan ibunya menjalani cara hidup yang tidak sihat. Makanan menjadi terapi buat kedua-duanya.

Si ibu mengalami kemurungan teruk rentetan penceraian yang berlaku ketika anaknya masih bayi. Beberapa tahun berlalu, kehidupan dirasakan seolah-olah telah musnah sama sekali.

Dunia mereka berdua hanyalah makanan. Makan, makan dan makan. Mereka merasakan hanya dengan cara itu kesedihan dapat dirawat. Melupakan seketika keperitan yang terpaksa dilalui.

Sehinggalah timbul kesedaran dalam diri si anak untuk berubah. Menurunkan berat badan supaya badan lebih sihat. Seterusnya menjalani kehidupan yang lebih baik dan normal.

Pucuk dicita ulam mendatang. Mereka terpilih sebagai peserta dalam satu program realiti. Maka rutin latihan kecergasan secara intensif pun bermula.

Jim, jurulatih kecergasan yang bertanggungjawab memantau anak beranak ini mula menghidu sesuatu yang tidak kena. Tiba-tiba saja si anak menyatakan bahawa dia tidak mahu meneruskan latihan.

Setelah diselidiki, si anak sedang berperang dengan emosinya sendiri. Dadanya sarat dengan beban perasaan terhadap ayahnya.

Hasil perbincangan, mereka mencapai kata sepakat. Si anak ingin menemui ayahnya untuk meluahkan apa yang terbuku selama ini.

Kata putus dicapai. Pertemuan bakal berlangsung. Meskipun si ibu masih ragu-ragu dengan tindakan anaknya namun demi kasih dan cinta terhadap permata hatinya, diturutkan juga permintaan itu.

Berulang-ulang kali si ibu mengingatkan bahawa risiko yang bakal dihadapi oleh anaknya kelak apabila sesi luahan rasa itu berlangsung. Takut anaknya akan terluka. Jelas, keputusan si anak tidak dapat diubah lagi.

Pertemuan empat mata antara anak dan ayah berlangsung di dalam rumah. Walaupun tidak ada visual yang dipaparkan, tetapi perbualan tersebut dirakam. Sementara di luar rumah, si ibu menanti penuh debar. Setiap butir perkataan nyata meresahkan hatinya.

Pengakuan dan luahan tulus anak muda yang dahagakan perhatian serta kasih sayang seorang ayah. Anak yang menjadi mangsa penceraian. 

Hanya mampu memerhati dari jauh kehidupan bahagia si ayah bersama keluarga yang baru. Membesar bersama satu kenyataan yang pahit bahawa dia punya ayah, yang tidak pernah mengambil tahu.

Saya selaku penonton menjangka kesudahan yang baik antara anak dan ayah. Melihat mereka berdua berpelukan sedang si anak menangis terhinggut-hinggut adalah momen yang cukup memilukan.

Saya silap. Apabila si anak kembali ke dalam rumah ayahnya untuk menggunakan bilik air. Sekali lagi, perbualan antara dua beranak itu berlangsung.

Si anak menjelaskan bahawa dia cuma ingin menumpang kasih ayahnya. Dia mahu ayahnya berbangga dengan apa yang sedang dilakukan olehnya. Malangnya, si ayah menyatakan kepadanya usahlah berlebih-lebih dan terlalu dramatik.

Boleh dibayangkan bersepainya hati si anak dengan kata-kata tersebut. Air mata itu bukanlah dibuat-buat. Ia mengalir dengan sendirinya. Malah, apa yang diluahkan itu lahir dari hati.

Air mata si anak masih dan terus mengalir ketika dia kembali ke kereta ibunya. Dihitungnya kenangan semasa kecil bersama ayahnya. Tidak ada kenangan manis yang ditemui.

Dia masih ingat, ketika mendapat tahu ayahnya akan bercuti bersama keluarga ayahnya yang baru, dia ingin sekali turut serta. Hasrat itu disampaikan kepada ayahnya. Berbunga-bunga hati anak kecil ketika itu.

Angan-angan untuk bercuti bersama seakan berkecai apabila si ayah menyatakan bahawa kereta telah penuh. Tidak ada ruang lagi untuknya. 

Alasan demi alasan diberikan oleh ayahnya. Sentiasa ada jurang yang memisahkan mereka. Sayangnya, orang yang cuba menjauhkan mereka berdua ialah ayahnya sendiri. 

Akhirnya, dia merumuskan bahawa sebenarnya dia tidak ada tempat lagi di hati ayahnya. Penceraian dengan ibunya bukan hanya memisahkan isteri dan suami. Malah, turut menokhtahkan kasih sayang antara ayah dan anak.

Impiannya cuma satu. Dia hanya mahu ayahnya ada saat dia berjaya. Ingin benar mendengar ayahnya berkata bahawa dia berbangga dengan semua yang telah dilalui untuk sampai ke puncak kejayaan.

Jelas, harapan yang tidak mungkin kesampaian. Berakhir sudah cerita air mata. Anak muda itu melangkah dengan lebih bertenaga. Melupakan masa lalu. 

Kali ini, azam dan tekadnya untuk berubah bukan kerana orang lain. Dia berubah untuk dirinya. Orang lain boleh mengecewakannya berulang-ulang kali tetapi tidak dirinya. Dia akan bersungguh-sungguh untuk merealisasikan impiannya.



Pengajaran untuk kita. Kita boleh menjadikan orang lain sebagai satu bentuk motivasi bagi mencapai cita-cita. Namun, jangan sandarkan sepenuhnya cita-cita kita pada orang lain. 

Apakah kita akan tumbang saat orang lain yang kita harapkan berlalu meninggalkan kita? 

Ini soal diri kita. Impian dan cita-cita kita. Kemahuan kita yang kuat akan membantu kita mencapainya. Orang lain boleh menolong dan mendorong tetapi kemahuan mereka tidak sekuat kita.

Selamat berjuang menggapai apa dicita!


No comments:

Post a Comment


Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015