Tuesday 11 February 2014

Kerja Allah

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google


Jangan main-main dengan kerja Allah. Bagaikan diatur-atur kapal yang seberat 2500 tan terdampar betul-betul di tengah lima buah kampung. Kedudukan yang tepat. Malah kapal ini berjaya mengelak daripada melanggar surau dan masjid.  Semuanya seolah-olah telah dirancang dan diatur dengan teliti. Kapal sebesar itu tapi hanya seorang sahaja yang terselamat di dalamnya. Manakala sebuah bot kecil yang tersadai di atas sebuah rumah ada 54 mangsa yang  terselamat.

Tsunami menyapu bersih bumi Aceh hingga hampir-hampir sahaja tiada apa yang tersisa. Siapa sangka dalam sekelip mata, air yang surut pada mulanya rupa-rupanya mengumpul 'tenaganya' sebelum menjulang tinggi menghempas Serambi Mekah itu. 

Ada yang digulung bersama air ketika dalam perjalanan menyelamatkan diri. Ada pula yang tidak sempat berbuat apa-apa. Sementara ramai yang terpinga-pinga saat datangnya bencana. 

Salah seorang daripada mangsa yang terselamat dalam kejadian itu menceritakan bahawa beliau sebenarnya tidak tahu apa yang terjadi. Cuma setelah melihat orang ramai bertempiaran lari, maka beliau menumpang sebuah lori untuk menyelamatkan diri. Malangnya, lori tersebut terbalik dipukul air. Beliau tidak mampu berbuat apa-apa ketika itu kerana air terlalu deras. 

Tubuh beliau dihempas ke arah bangunan dan kenderaan yang ada berulang-ulang kali. Sakitnya sudah tidak tertanggung lagi. Seluruh badan dan tulang-belulang seolah-olah diperah semahu-mahunya. Perasaan malu lenyap sama sekali, meski pun sudah tidak ada seurat benang pun di badan. Beliau koma beberapa bulan selepas itu. Kini, beliau diberikan peluang kedua untuk terus hidup berkongsi dengan masyarakat sebagai pengajaran dan peringatan.

Tidak ada suatu pun yang mustahil di sisi Allah. Jika Allah kata jadi, maka jadilah ia. Wallahu'alam.







No comments:

Post a Comment


Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015