Friday, 3 April 2015

Terus Berusaha

Patah sayap bertongkat paruh,

Patah paruh bertongkat siku,

Patah siku bertongkat dagu,

Patah dagu bertongkat kuku.









Thursday, 2 April 2015

Kisah Zaid bin Harithah

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori

Selepas berkahwin, Khadijah binti Khuwailid telah menghadiahkan seorang budak kepada Rasulullah s.a.w. sebagai pembantu kepada baginda. 

Budak yang dimaksudkan ialah Zaid bin Harithah. Seorang budak berkulit hitam tetapi mempunyai hati yang sangat putih di samping pandai dan ikhlas bekerja.

Zaid berasal dari Yaman dan bapanya seorang yang kaya. Ketika beliau dan bapanya dalam perjalanan membawa barang dagangan, mereka telah dirompak di tengah padang pasir. Bapanya telah dijadikan hamba dan dijual di tempat lain. Sementara Zaid pula dijual di Makkah.

Setelah beberapa lama, Harithah iaitu bapa Zaid berjaya menebus dirinya. Lalu, dia mula mencari anaknya. Puas mencari di merata tempat, bapanya telah diberitahu bahawa mereka pernah melihat seorang budak seperti Zaid di Makkah.

Harithah kemudiannya ke Makkah untuk mencari anaknya. Sesampainya di sana, dia segera menemui Khadijah binti Khuwailid kerana dia mendapat tahu bahawa Khadijah telah membeli anaknya. Apabila ditanya kepada Khadijah tentang anaknya, Khadijah mengakui akan hal tersebut. Namun, Zaid telah pun dihadiahkan kepada suaminya.

Lantas Harithah pergi menemui Rasulullah s.a.w,.

Kata Harithah, "Aku datang dari jauh bersama rombongan dengan membawa harta yang cukup banyak. Aku datang sebab nak beli balik anak aku yang bernama Zaid. Aku tahu dia ada dengan kamu kerana Khadijah hadiahkan kepada kamu. Aku nak beli balik hamba itu. Beritahu saja berapa harganya. Aku orang kaya. Aku sayang anak aku. Aku nak beli."

Nabi s.a.w terus menjawab, "Betul, Zaid sekarang berada denganku. Tapi aku sayang dekat dia."

Kata Harithah, "Aku bapa dia. Aku lebih sayang kepada dia. Ini bapa saudaranya, juga sayang kepadanya."

"Baik. Aku nak tawarkan kepada kamu sesuatu yang lebih baik daripada yang kamu tawarkan kepada aku."

"Apa tawaran kamu?" tanya Harithah.

"Tawaran aku, kamu tak payah beli. Harta kamu, kamu ambil balik. Usah bayar walau sedikit pun. Sekarang ni, Zaid sedang berada di pasar. Kamu kenal dia kan? Kamu pergi sendiri tanya kepada dia di pasar dan bawa dia kepada aku. Lepas itu, kamu tanya dia. Kamu bapa kandungnya, itu bapa saudaranya. Aku ni bapa angkatnya. Siapa yang dia nak pilih?"

Apabila Zaid berada di situ. Maka Zaid pun ditanya, "Kamu kenal ini siapa?"

Jawab Zaid, "Aku kenal. Ini bapa aku. Ini bapa saudara aku (dan yang lain-lain)"

Zaid kenal semua yang datang.

Nabi kata kepada Zaid, "Mereka datang hendak membebaskan kamu. Nak mengambil kamu untuk balik ke Yaman dan tinggal bersama-sama mereka. Mereka tawarkan harta yang banyak kepada aku seolah-olah jika aku benarkan kamu pulang, aku akan jadi orang kaya yang penuh dengan harta benda. Tapi Zahid, kamu buatlah pilihan. Kamu sudah cukup dewasa untuk memilih."

"Kalau kamu pilih mereka, silakan. Pulanglah kamu ke Yaman. Jika kamu pilih aku, terserahlah kepada kamu."

Zaid tidak berfikir panjang. Beliau terus bersuara, "Kalau aku pilih mereka, aku hanya dapat dua sahaja. Aku dapat bapa, aku dapat bapa saudara. Tapi kalau aku pilih kamu, aku dapat tiga. Kamulah bapaku. Kamulah bapa saudaraku dan lebih daripada itu, kamulah kekasih aku. Rasulullah, aku pilih kamu."

Menangis Harithah mendengar pengakuan anaknya itu.





Wednesday, 1 April 2015

Tuhanku


Tuhanku,

dalam termangu

aku masih menyebut namaMu.



Biar susah sungguh mengingat

kau penuh seluruh.



~ Chairil Anwar, Doa.

Tuesday, 31 March 2015

Ku Tinggalkan Doa

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori

"Nak beli buku?" tanya si gadis penjual buku.

Saya mengangguk sambil tersenyum.

"Saya nak ke tandas sekejap. Boleh tunggu?"

Saya angguk lagi lagak seorang bisu. 

"Tunggu ye. Saya nak solat. Tak lama, kejap je."

Angguk tidak, geleng pun tidak. Saya kurang pasti.

Mahu minta ditunggu, sungguh tidak patut. Tegakah saya menyuruh seseorang menangguhkan solat kerana saya. Sedang jam sudah menunjuk ke angka dua.

Sudahnya saya hanya membalas dengan senyuman. Mahal sungguh perkataan saya hari ini. Macam ada emas dalam mulut saya.

Tunggu dan terus menunggu. Si dia masih belum keluar.

Saya batalkan hasrat untuk membeli buku dan kembali ke kereta.

Saya dihimpit rasa bersalah. Bukankah saya memang mahu membeli buku dan apabila saya diminta menunggu, saya sendiri yang setuju.

Maka, dengan rasa bersalahnya saya tinggalkannya dengan doa. Mudah-mudahan Allah memberi rezeki berganda-ganda sebagai ganti kerana Dia meninggalkan urusan dunia dan mengutamakan Allah. Suatu urusniaga yang tidak akan pernah rugi, Insya-Allah.

Rezeki itu Allah yang bagi. Sedang pelanggan itu Allah yang hantar.










Thursday, 26 March 2015

Dekat

Teks      : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar : Google

Ya Allah, Engkau dekat.

Lebih dekat dari urat leher kami.





Wednesday, 25 March 2015

Neraka

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori

Ustaz Badli Shah memulakan perbincangan dalam slot Cinta Ilmu dengan bertanya kepada para penonton.

Tuan-tuan bayangkan neraka ini bagaimana? 

Neraka ini bukan satu bekas yang berisi api. Neraka ialah suatu kehidupan. Di dalamnya ada rumah, di dalam juga ada sungai. Tetapi sungai yang mengalir ialah sungai nanah dan juga darah.

Neraka ini berjiran dengan syurga. Ahli neraka akan minta kepada ahli syurga untuk dapat diberikan sedikit minuman dari syurga untuk menghilangkan dahaga. Namun, kata ahli syurga air di dalam syurga ini diharamkan kepada ahli neraka untuk meminumnya.

Na'uzubillah. 

Ya Allah, kami ini tidak layak untuk ke syurgaMu. Tetapi kami tidak pula sanggup ke nerakaMu.


Tuesday, 24 March 2015

Luar Biasa

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori

Tiba-tiba saja keyakinan saya setinggi gunung. Tidak ada gentar, tidak langsung berasa gusar.

Saya seolah-olah individu berbeza. Ada kekuatan yang mengalir dalam segenap urat dan nadi. Kekuatan yang luar biasa.

Bersandarkan kepada yang Maha Kuat, kita jadi kuat.

Mana mungkin kita menjadi kuat dengan berpaut pada sesuatu yang bersifat lemah.

Keyakinan dan kekuatan yang teguh terhasil kerana di hati ini ada Allah. Penyerahan total kepada Allah.

Yakin itu bukan hanya di bibir tetapi perlu tertancap utuh di dasar hati. 

Sebut, fikir, percaya dan yakin dengan sungguh-sungguh.

Sehingga nikmatnya meresap ke dalam diri. 

Justeru, Allah itu lebih dekat berbanding urat leher.




Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015