Tuesday, 24 March 2015

Luar Biasa

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori

Tiba-tiba saja keyakinan saya setinggi gunung. Tidak ada gentar, tidak langsung berasa gusar.

Saya seolah-olah individu berbeza. Ada kekuatan yang mengalir dalam segenap urat dan nadi. Kekuatan yang luar biasa.

Bersandarkan kepada yang Maha Kuat, kita jadi kuat.

Mana mungkin kita menjadi kuat dengan berpaut pada sesuatu yang bersifat lemah.

Keyakinan dan kekuatan yang teguh terhasil kerana di hati ini ada Allah. Penyerahan total kepada Allah.

Yakin itu bukan hanya di bibir tetapi perlu tertancap utuh di dasar hati. 

Sebut, fikir, percaya dan yakin dengan sungguh-sungguh.

Sehingga nikmatnya meresap ke dalam diri. 

Justeru, Allah itu lebih dekat berbanding urat leher.



Thursday, 19 March 2015

Allah Tidak Akan Biarkan Kita

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori

Teringatkan saya akan kata- kata yang disampaikan oleh Ustaz Abdullah Amin ketika membicarakan tentang salah satu nama Allah iaitu Ar-rahman.

Kata ustaz,

Allah telah menyejukkan api yang membakar Nabi Ibrahim a.s.

Allah yang sama juga telah memerintahkan agar laut terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa a.s. dan para pengikutnya daripada Fir'aun.

Allah yang sama juga telah memenangkan Rasulullah s.a.w. dalam perang Badar meskipun jumlah umat Islam ketika itu sedikit dan tidak ada senjata untuk berperang.

Allah tidak akan biarkan kita.

Allah tidak akan tinggalkan kita.

Takkanlah Allah tak nak tolong kita di saat kita memohon pertolonganNya?

Kata ulama, Allah memang mahu memakbulkan doa kita. Tinggal lagi kita saja, sama ada kita minta atau pun tidak. Itulah tanda sifat rahman dan rahim Allah.

Allah Tidak Akan Biarkan Kita

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori

Teringatkan saya akan kata- kata yang disampaikan oleh Ustaz Abdullah Amin ketika membicarakan tentang salah satu nama Allah iaitu Ar-rahman.

Kata ustaz,

Allah telah menyejukkan api yang membakar Nabi Ibrahim a.s.

Allah yang sama juga telah memerintahkan agar laut terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa a.s. dan para pengikutnya daripada Fir'aun.

Allah yang sama juga telah memenangkan Rasulullah s.a.w. dalam perang Badar meskipun jumlah umat Islam ketika itu sedikit dan tidak ada senjata untuk berperang.

Allah tidak akan biarkan kita.

Allah tidak akan tinggalkan kita.

Takkanlah Allah tak nak tolong kita di saat kita memohon pertolonganNya?

Kata ulama, Allah memang mahu memakbulkan doa kita. Tinggal lagi kita saja, sama ada kita minta atau pun tidak. Itulah tanda sifat rahman dan rahim Allah.

Tuesday, 17 March 2015

Santai-Santai

Teks      : Nor Adilah Ahmad Shokori

Santai-santai saja petang ini. Saya ingin memetik dialog antara Jepp dan Shuib (Sepahtu) dalam program Maharaja Lawak Mega.



Shuib : Aku, lautan api sanggup aku renangi.

Jepp   : Lautan api? Teh o panas pun kau tiup!

Entri ini bukan mahu bercerita tentang Jepp atau Shuib. 

Bukan juga mahu berbicara tentang lawak mereka. 

Cuma saya ingin membawa kita semua melihat dalam konteks yang berbeza. Agar sama-sama kita muhasabah.

Bayangkan api neraka yang berganda-ganda panasnya. Mampu ke kita?

Air mendidih kena pada kulit pun boleh melecur. Meraung kita. Inikan pula api neraka. Na'uzubillahi min zalik.



Saturday, 14 March 2015

Terima Kasih

Teks      : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar : Google

Minggu lepas seseorang menghantar emel kepada saya mengucapkan terima kasih dan meminta saya untuk terus menulis di blog kerana dia suka membaca tulisan saya. 

Rasa kelakar pun ada. 

Eh, ada ke orang baca blog aku?

Tak sangka ada orang suka baca apa yang aku tulis.

Tulis skema, keras kejung pun orang nak baca ke?

Jujurnya, saya tidak tahu nak balas apa. Lama juga fikir sebelum balas. Kalau bercakap secara berdepan, saya sudah tahu reaksi pertama saya. Saya akan senyum. Itu saja yang saya akan buat.

Orang yang betul-betul kenal saya tahu saya macam mana. Antara bercakap dan menulis, saya pilih menulis. Saya boleh bercakap tidak henti-henti macam orang yang peramah sangat. Pada masa yang sama, saya juga boleh diam tanpa sepatah kata dan lebih suka dengar apa yang orang cakap.

Saya suka melakukan perkara yang kedua. Saya seorang introvert. Saya kagum bila melihat seseorang boleh berdiri dan bercakap dengan yakin di hadapan khalayak. Setakat ini rasanya saya masih belum mampu untuk buat.

Semuanya milik Allah yang dipinjamkan kepada saya, sis.

Menulis merupakan satu-satunya benda yang saya minat untuk buat dan tahu sikit-sikit nak buat.

Kalau ikutkan banyak lagi benda yang saya minat tetapi sampai ke sudah saya tidak boleh buat.

Seandainya boleh dipilih, saya ingin menulis puisi. Tetapi, bakat menulis puisi yang dimiliki oleh emak tidak tumpah kepada saya. Abang yang sulung pandailah menulis.

Saya juga minat muzik tetapi tidak pandai bermain satu pun alat muzik. Kalau pandai, bolehlah saya lagukan kata hati saya. Haha. 

Ingin juga cuba-cuba melukis. Masalahnya, memang saya tidak ada bakat seni. Lukis orang lidi bolehlah. Seingat saya, satu-satunya lukisan yang ada rupa ialah semasa cuba melukis kartun. Itu pun saya tiru.

Menulis pula saya buat kerana saya suka. Tidak ada pen atau kertas, saya taip di telefon dan simpan sebelum saya pindahkan ke dalam buku catatan saya. Ada kalanya saya hanya menulis di atas tisu. Janji saya tambat sesuatu perkara itu dalam bentuk perkataan sebelum luput dari fikiran.

Tulisan yang tidak seberapa dan entah apa-apa. Kejap-kejap mahu jadi Mat Lutfi, sesekali mahu tulis macam Ustaz Pahrol. Kemudian, bermimpi mahu tulis macam orang itu, orang ini. Sudahnya, saya tetap di sini.

Kekangan menulis datang daripada diri saya sendiri. Banyak yang boleh dan mahu ditulis. Akhirnya, tidak ada satu pun yang saya tulis.

Idea paling banyak mengalir di saat-saat akhir. Sama macam menyiapkan tugasan di universiti dulu. Esok kena hantar, sehari dua sebelum itu baru idea turun mencurah-curah. Pada hal sebelum itu bukan main payah nak tulis satu ayat pun.

Dua hari lepas, editor minta sediakan satu artikel untuk buku kedua. Orang lain ada yang sudah siap tulis. Saya? Tiba-tiba rasa sakit kepala. Idea yillek. Huhu. Perah sampai kering pun belum tentu idea mari. 

Memandang jauh ke hadapan. Saya ada cita-cita dan impian dalam bidang penulisan. Ada sesuatu yang saya mahu capai. Bukan hanya contengan kata-kata tanpa makna dan jiwa. Perjalanan ini masih terlalu jauh.

Image result for thank you

Namun begitu, saya hargai anda yang membaca tulisan saya. Terima kasih kerana menjengah ke sini. Maaf atas tulisan yang tidak seberapa. Selagi diizinkan Allah, saya akan terus menulis.

Ustaz Badli Shah bercerita, orang yang kita pernah tolong ketika di dunia adalah antara orang boleh membantu kita ketika di hari akhirat kelak. "Kamu ingat tak lagi, dulu di dunia kamu pernah menolong aku? Marilah ikut aku. Aku nak minta dengan Allah agar Allah masukkan kamu ke dalam syurga macam aku."

Kata ustaz lagi, jangan pandang kecil kepada kebaikan. Buat baik pada orang. Tolong orang yang dalam kesusahan walaupun kecil sahaja pertolongan tersebut, kebaikan itu pasti kembali kepada kita di akhirat kelak.

Wallahu'alam.

Friday, 13 March 2015

Nasihat

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori

Tanpa sedar kadang-kadang kita melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Contohnya dalam bab memberi nasihat.

Berkali-kali diperingatkan jangan beri nasihat kalau tidak diminta. Jangan memandai-mandai hingga menimbulkan rasa kurang selesa pada orang yang dinasihatkan.

Kita mungkin berasa tindakan kita atas dasar kasih, sayang, prihatin dan ambil berat. Namun, tidak semua orang bersedia mendengarnya.

Justeru, maafkan saya. Tanpa sedar dan sengaja menitipkan nasihat walaupun tidak diminta.

Sekali lagi, maafkan saya!



Thursday, 12 March 2015

Lakukan Untuk Diri Sendiri

Teks  : Nor Adilah Ahmad Shokori
Imej   : Google

Saya menahan sebak menonton kisah realiti berbahasa Inggeris. Seorang anak muda berusia 21 tahun dibesarkan oleh seorang ibu tunggal.

Anak muda yang ingin mengubah cara hidupnya. Sejak sekian lama, dia dan ibunya menjalani cara hidup yang tidak sihat. Makanan menjadi terapi buat kedua-duanya.

Si ibu mengalami kemurungan teruk rentetan penceraian yang berlaku ketika anaknya masih bayi. Beberapa tahun berlalu, kehidupan dirasakan seolah-olah telah musnah sama sekali.

Dunia mereka berdua hanyalah makanan. Makan, makan dan makan. Mereka merasakan hanya dengan cara itu kesedihan dapat dirawat. Melupakan seketika keperitan yang terpaksa dilalui.

Sehinggalah timbul kesedaran dalam diri si anak untuk berubah. Menurunkan berat badan supaya badan lebih sihat. Seterusnya menjalani kehidupan yang lebih baik dan normal.

Pucuk dicita ulam mendatang. Mereka terpilih sebagai peserta dalam satu program realiti. Maka rutin latihan kecergasan secara intensif pun bermula.

Jim, jurulatih kecergasan yang bertanggungjawab memantau anak beranak ini mula menghidu sesuatu yang tidak kena. Tiba-tiba saja si anak menyatakan bahawa dia tidak mahu meneruskan latihan.

Setelah diselidiki, si anak sedang berperang dengan emosinya sendiri. Dadanya sarat dengan beban perasaan terhadap ayahnya.

Hasil perbincangan, mereka mencapai kata sepakat. Si anak ingin menemui ayahnya untuk meluahkan apa yang terbuku selama ini.

Kata putus dicapai. Pertemuan bakal berlangsung. Meskipun si ibu masih ragu-ragu dengan tindakan anaknya namun demi kasih dan cinta terhadap permata hatinya, diturutkan juga permintaan itu.

Berulang-ulang kali si ibu mengingatkan bahawa risiko yang bakal dihadapi oleh anaknya kelak apabila sesi luahan rasa itu berlangsung. Takut anaknya akan terluka. Jelas, keputusan si anak tidak dapat diubah lagi.

Pertemuan empat mata antara anak dan ayah berlangsung di dalam rumah. Walaupun tidak ada visual yang dipaparkan, tetapi perbualan tersebut dirakam. Sementara di luar rumah, si ibu menanti penuh debar. Setiap butir perkataan nyata meresahkan hatinya.

Pengakuan dan luahan tulus anak muda yang dahagakan perhatian serta kasih sayang seorang ayah. Anak yang menjadi mangsa penceraian. 

Hanya mampu memerhati dari jauh kehidupan bahagia si ayah bersama keluarga yang baru. Membesar bersama satu kenyataan yang pahit bahawa dia punya ayah, yang tidak pernah mengambil tahu.

Saya selaku penonton menjangka kesudahan yang baik antara anak dan ayah. Melihat mereka berdua berpelukan sedang si anak menangis terhinggut-hinggut adalah momen yang cukup memilukan.

Saya silap. Apabila si anak kembali ke dalam rumah ayahnya untuk menggunakan bilik air. Sekali lagi, perbualan antara dua beranak itu berlangsung.

Si anak menjelaskan bahawa dia cuma ingin menumpang kasih ayahnya. Dia mahu ayahnya berbangga dengan apa yang sedang dilakukan olehnya. Malangnya, si ayah menyatakan kepadanya usahlah berlebih-lebih dan terlalu dramatik.

Boleh dibayangkan bersepainya hati si anak dengan kata-kata tersebut. Air mata itu bukanlah dibuat-buat. Ia mengalir dengan sendirinya. Malah, apa yang diluahkan itu lahir dari hati.

Air mata si anak masih dan terus mengalir ketika dia kembali ke kereta ibunya. Dihitungnya kenangan semasa kecil bersama ayahnya. Tidak ada kenangan manis yang ditemui.

Dia masih ingat, ketika mendapat tahu ayahnya akan bercuti bersama keluarga ayahnya yang baru, dia ingin sekali turut serta. Hasrat itu disampaikan kepada ayahnya. Berbunga-bunga hati anak kecil ketika itu.

Angan-angan untuk bercuti bersama seakan berkecai apabila si ayah menyatakan bahawa kereta telah penuh. Tidak ada ruang lagi untuknya. 

Alasan demi alasan diberikan oleh ayahnya. Sentiasa ada jurang yang memisahkan mereka. Sayangnya, orang yang cuba menjauhkan mereka berdua ialah ayahnya sendiri. 

Akhirnya, dia merumuskan bahawa sebenarnya dia tidak ada tempat lagi di hati ayahnya. Penceraian dengan ibunya bukan hanya memisahkan isteri dan suami. Malah, turut menokhtahkan kasih sayang antara ayah dan anak.

Impiannya cuma satu. Dia hanya mahu ayahnya ada saat dia berjaya. Ingin benar mendengar ayahnya berkata bahawa dia berbangga dengan semua yang telah dilalui untuk sampai ke puncak kejayaan.

Jelas, harapan yang tidak mungkin kesampaian. Berakhir sudah cerita air mata. Anak muda itu melangkah dengan lebih bertenaga. Melupakan masa lalu. 

Kali ini, azam dan tekadnya untuk berubah bukan kerana orang lain. Dia berubah untuk dirinya. Orang lain boleh mengecewakannya berulang-ulang kali tetapi tidak dirinya. Dia akan bersungguh-sungguh untuk merealisasikan impiannya.



Pengajaran untuk kita. Kita boleh menjadikan orang lain sebagai satu bentuk motivasi bagi mencapai cita-cita. Namun, jangan sandarkan sepenuhnya cita-cita kita pada orang lain. 

Apakah kita akan tumbang saat orang lain yang kita harapkan berlalu meninggalkan kita? 

Ini soal diri kita. Impian dan cita-cita kita. Kemahuan kita yang kuat akan membantu kita mencapainya. Orang lain boleh menolong dan mendorong tetapi kemahuan mereka tidak sekuat kita.

Selamat berjuang menggapai apa dicita!



Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015