Wednesday, 2 April 2014

Rezeki Kita Berbeza


Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google

Bismillah.



Daripada Abu Ayyub Khalid bin Zaid al-Ansari RA bahawasanya seorang lelaki berkata, “Wahai Rasulullah SAW, beritahu daku tentang amalan yang membolehkan aku masuk syurga”. Jawab Rasulullah SAW, “Beribadatlah kepada Allah, janganlah menyekutukan dengan sesuatu, dirikan sembahyang, keluarkan zakat dan eratkan hubungan silaturrahim”.

Kita dituntut agar memanjangkan hubungan silaturrahim. Dunia hari ini, segalanya di hujung jari. Banyak medium dan pilihan di depan mata. 

Namun, dalam kita bersilaturrahim ada adab dan seninya. Kadang-kadang niat kita betul, cuma pelaksanaannya silap. Tapis dan fikir apa yang mahu dibicarakan. Sesetengah perkara tidak perlu kita sentuh dan seboleh mungkin elakkanlah.

Cuba letakkan diri kita di tempat mereka. Kadang-kadang sehalus mana pun bahasa kita, masih tetap mencederakan emosi orang yang kita tanya. Puncanya ada pada soalan kita.

Bertanya khabar, bertukar cerita biarlah dalam keadaan kedua-dua belah pihak gembira. Masing-masing berasa selesa dan tidak ada hati yang terluka.

Tidak salah bertanya tapi tanyakanlah soalan yang lebih umum. Jangan sesekali menyentuh sisi peribadi. Konsep rezeki itu luas. Fahamilah bahawa rezeki yang Allah tabur untuk setiap hambaNya berbeza-beza. Lebih di sini, kurang di sana. 


Wallahu'alam.






Mereka Mendahului


Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google




Bismillah.

Sesungguhnya kami ini milik Allah dan kepadaNyalah kami akan dikembalikan. Awal-awal pagi dikejutkan dengan berita kematian seorang saudara. 

Beliau meninggal dunia dalam pesawat ketika dalam perjalanan pulang ke Malaysia. Sedang perjalanan masih berbaki tujuh jam. Tentu sekali ahli keluarga yang turut berada di dalam pesawat terpaksa menahan hiba sepanjang tempoh tersebut.

Tidak terlewat walaupun sesaat, tatkala ajal tiba pada masa dan tempat yang sudah ditetapkan sejak sekian lama. 

Beberapa hari lepas, seorang kenalan mak meninggal tiba-tiba. Tidak sempat sampai ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Rupa-rupanya sakit perut yang dialaminya dalam tempoh dua hari hanyalah asbab untuk Allah menjemputnya pulang.

Pandang diri kita. Kita juga menanti giliran untuk berpindah, dari alam dunia ke alam barzakh. Kita ini juga bakal jenazah.

Bila? Di mana? Bagaimana? Itu bukanlah soalan yang perlu ditanya. Soalan yang lebih utama ditanya adalah adakah kita sudah bersedia? Ramai yang telah mendahului kita dan kita juga bakal menyusul mereka. Wallahu'alam.





Tuesday, 1 April 2014

Rindu Bertamu


Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Nor Adilah Ahmad Shokori

Alhamdulillah. Pada 19 Oktober 2012 hari Jumaat, kami bertolak dari Kelana Jaya ke KLIA dengan menaiki bas. Tepat jam 4 petang, penerbangan akhir berlepas meninggalkan tanah air selama hampir tujuh minggu. 

Mengulangi kembara bertiga pada tahun 1998 namun kali ini tempohnya lebih panjang. Jemputan dikirim oleh Allah melalui mak dan ayah. Sungguh kami rindu untuk bertamu di rumahMu, menziarahi kekasihMu. 




Astaghfirullah.




Cerita Faris dan Flash Card


Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Hari tu Faris tak pi sekolah. Kebetulan terjumpa flash card zaman dulu-dulu kat rumah. 

Perkataan-perkataan dalam flash card tu semua dalam Bahasa Inggeris (dah nama pun flash card kan J). Apple, Bear, Cat ok dah dia sebut tapi bila sampai huruf D, jadi lain la pulak.


“D”. “Door”


“Bukanlah. Pintu!”


“Door”


“Pintu”


“Pintu dalam Bahasa Melayu. Bahasa Inggeris sebut door.”


Tengok muka dia macam dah paham dah, tapi sekali dia ambik tangan Mak Teh dia letak kat gambar pintu.


"Assalamualaikum!” Sambil ketuk gambar pintu.


Hahahahahaha.Memang tak boleh tahan gelak dengan budak sorang ni.





Monday, 31 March 2014

Kadar Tol Jambatan Kedua Pulau Pinang


Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Bermula 1 April 2014, pengguna Jambatan Kedua Pulau Pinang atau nama rasminya Jambatan Sultan Abdul Halim Muazzam Shah perlu membayar kadar tol yang telah ditetapkan. Tempoh sebulan percuma yang diberikan kepada semua pengguna jambatan tersebut sebelum ini, bakal berakhir.

Berikut kadar yang dikenakan mengikut kelas kenderaan:
  • Kereta kecuali teksi dan bas (kelas 1): RM8.50
  • Motosikal (kelas 0): RM1.70

  • Kenderaan enam tayar kecuali bas (kelas 2):  RM30.50

  • Kenderaan kelas 3: RM70.10

  • Teksi (kelas 4): RM8.50

  • Bas (kelas 5): RM26.20



Nikmat Yang Didustakan


Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Nor Adilah Ahmad Shokori

Duduk menghadap pokok-pokok kat belakang rumah ini membuatkan perasaan berbunga-bunga. Kadang-kadang boleh tersenyum sorang-sorang. Melihat buah-buah yang bergantungan. Oh, bahagianya!

Betapa patuhnya pohon-pohon ini mengikut aturan yang ditetapkan oleh Allah. Berbunga dan berbuah mengikut masa yang ditetapkan olehNya.

Menikmati fasa-fasa dari mula pokok ini berbunga hingga ke saat menuai hasilnya. Berkongsi rezeki dengan ayam, burung dan tupai.

Terkenang saat tok dan tok ayah masih sihat. Dah lapan tahun berlalu. Sayu. Tak sedar air mata bergenang. 

Tok memang rajin. Pokok-pokok ni tok yang tanam. Kami cuma makan je. Ada mangga epal, jambu dan harumanis. Orkid pula sedang berbunga. 

Terima kasih Allah. Maka nikmatMu yang manakah yang hendak kami dustakan?







    
 



  







Saturday, 29 March 2014

Hakikat Dukacita


Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Sabarlah menanggung dukacita kerana ada bahagiannya untuk kita di 'sana'. Allah pasti akan ganti. Kalau bukan di dunia, sudah pasti untuk akhirat nanti.





Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015