Wednesday 11 March 2015

Luruskan Niat

Teks      : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar : Google

Keterujaan saya bercerita dengan beberapa orang biarlah berakhir setakat itu. Saya gembira. Itu saja. Perasaan yang mahu dikongsi dengan beberapa orang terdekat. 

Jika diizinkan Allah, diberi peluang lagi selepas ini maka saya akan lebih berhati-hati. Balik kepada niat dan tujuan asal saya menulis. 

Menulis cerita begitu, bukan untuk berbangga. Tidak ada apa untuk dibangga. Apa yang mahu disampaikan kepada pembaca ialah mintalah kepada Allah, Dia tidak pernah mengecewakan. 

Sesukar apa pun hidup. Sesempit mana pun ruang yang ada. Allah sentiasa ada. Dia tidak pernah sekalipun meninggalkan kita. Kita yang selalu melupakanNya.



Moga niat kekal lurus kerana itulah yang saya dan kita semua mohon setiap waktu. Jika niat dan tujuan bukan kerana Allah, yang berhasil hanyalah lelah.

Ya Allah, bantu kami luruskan niat dan tujuan hidup kami!
Jadikan hanya Engkau yang kami tuju.
Hidup kami, mati kam hanya keranaMu!

Tuesday 3 March 2015

Kisah Hasan Al-Basri - Jangan Sombong

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori

Kisah ini tentang Hasan Al-Basri. Dikongsikan oleh seorang rakan di group Whatsapp. Saya coretkan di sini untuk dihadam oleh kita semua.

Suatu hari di tepi sungai Dajlah, Hasan Al-Basri melihat seorang pemuda duduk berdua-duaan dengan seorang perempuan. Di sisi mereka terdapat sebotol arak.

Kemudian Hasan berbisik di dalam hati, "Alangkah buruk akhlak orang itu dan baiknya kalau dia seperti aku!"

Tiba-tiba Hasan melihat sebuah perahu di tepi sungai yang sedang tenggelam. Lelaki yang duduk di tepi sungai tadi segera terjun untuk menolong penumpang perahu yang hampir lemas kerana karam.

Enam daripada tujuh penumpang itu berhasil diselamatkan.

Kemudian dia berpaling ke arah Hasan Al-Basri dan berkata, "Jika engkau memang lebih mulia daripada saya, maka dengan nama Allah, selamatkan seorang lagi yang belum sempat saya tolong. Engkau diminta menyelamatkan seorang saja, sedang saya telah menyelamatkan enam orang."


Bagaimanapun Hasan Al-Basri gagal menyelamatkan yang seorang itu. Maka lelaki itu berkata kepadanya, "Tuan, sebenarnya yang duduk di samping saya ini ialah ibu saya sendiri, sedangkan botol itu hanya berisi air biasa, bukan anggur atau arak."

Hasan Al-Basri terpegun lalu berkata, "Kalau begitu, sebagaimana engkau telah menyelamatkan enam orang tadi daripada bahaya tenggelam ke dalam sungai, maka selamatkanlah saya daripada tenggelam dalam kebanggaan dan kesombongan."

Lelaki itu menjawab, "Mudah-mudahan Allah mengabulkan permohonan tuan."


Semenjak itu, Hasan Al-Basri selalu merendahkan hati bahkan menganggap dirinya sebagai makhluk yang tidak lebih daripada orang lain.

Jika Allah membuka pintu tahajud untuk kita, janganlah lantas kita memandang rendah saudara seiman yang sedang tidur nyenyak.

Jika Allah membuka pintu puasa sunat, janganlah kita memandang saudara seiman yang tidak ikut berpuasa sunat.

Boleh jadi orang yang gemar tidur dan jarang melakukan puasa sunat itu lebih dekat dengan Allah, daripada diri kita. Ilmu Allah amatlah luas.

Jangan pernah ujub dan sombong dengan amalanmu.

Saturday 28 February 2015

Hitam Tetap Hitam

Teks       : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar : Google


Hitam tetap hitam. Tidak akan jadi putih.


Salah tetap salah. Meskipun semua orang cuba membenarkannya.



Kebenaran akan terus benar meskipun hanya tinggal kita yang masih percaya.



Ibarat matahari yang muncul di siang hari. Hilang menjelang malam. Adapun matahari tetap juga ada sekalipun tidak kelihatan.






Friday 27 February 2015

Hari Jumaat - Kenapa Disunatkan Mandi ?

Teks      : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar : Google



Kredit : alkahfi.com.my

Hari Jumaat macam ini, selalunya orang yang paling bising di rumah saya ialah arwah tok ayah. Pasti akan kedengaran dua soalan wajib ini.

"Dah potong kuku?"

"Dah mandi sunat Jumaat ka belum?"

Biasanya tidak ada jawapan balas sebab jawapannya tok ayah sudah tahu. Kalau tidak disuruh, pastinya tidak akan buat. 

Sama juga halnya pada pagi hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Saya selalu terlupa. 

Kadang-kadang saya sudah siap mandi dan keluar bilik air. Tetapi tetap disuruhnya saya mandi sekali lagi gara-gara saya tidak berniat untuk mandi sunat.

Biasalah budak-budak. Patah balik juga ke bilik air sambil mulut mengomel, "Sunat kalau tinggal tidak berdosa, cuma tidak dapat pahala."

Dari luar bilik air saya dengar suara tok ayah. Kuat.

"Kalau buat lagi baik. Allah suka, nabi (s.a.w) sayang. Buat ja la, bukan kena keluaq duit sekupang pun."

Dalam hati saya, "Alamak tok ayah dengaq la."

Saya membesar bersama pesanan tersebut tanpa tahu hikmah di sebaliknya. Tidak terlintas untuk bertanya.

Dalam video Ustaz Ismail Kamus tentang Kelebihan Hari Jumaat, beliau berkongsi tentang,

"Apabila berada pada hari-hari istimewa dalam Islam iaitu pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha serta hari Jumaat kita disunatkan untuk mandi.

Kenapa mandi pada hari-hari tersebut sunat hukumnya?

Sebabnya pada hari tersebut kita akan berada di tempat yang ramai orang berkumpul (untuk solat). Jadi, mesti jaga kebersihan diri. Sunat berwangi-wangian supaya orang lain berasa selesa dan tidak terganggu dengan bau kita."

Oh, indahnya Islam sehingga hal sebegitu pun dijaga.

Wallahu'alam.



Thursday 26 February 2015

Pulangkan Duit Baki - Bolehkah Guna Cara Ini?

Teks      : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar : Google


Semalam hangat tentang kisah peniaga atas talian yang tidak mahu memulangkan duit baki kepada pelanggan. 

Dahulu, saya berasa aneh dengan cara pemulangan duit baki yang diamalkan oleh majoriti peniaga. Lebih-lebih lagi peniaga makanan.


Sumber : nazcollection.wordpress.com

Beli air 90 sen, kita bagi RM1. Bakinya 10 sen. Dapatnya? Dua biji gula-gula Hacks warna hitam (selalunyalah). Andai baki 20 sen, kadang-kadang dapat lima biji gula-gula atau tisu (pek kecil).

Saya yang ketika itu baru pandai mengira, terkebil-kebil memandang juruwang di kaunter. Hairan saya, bukankah sepatutnya yang diberi adalah duit syiling. 



Kenapa pula dibagi gula-gula? Saya tidak berminat untuk beli gula-gula. Apatah lagi gula-gula hitam yang 'pedas' itu. Dalam terpaksa, ku relakan jua. 

Ambil juga walau tidak puas hati. Duit kita kan?

Saya lihat orang lain tidak ambil pusing. Perkara biasa dan sudah macam satu budaya pula dalam masyarakat kita. 

Saya juga tidak terkecuali. Hanyut dibawa arus. Tidak ada lagi isu yang saya bangkitkan. Saya juga perasan, sekarang sudah tidak ada lagi hal-hal sebegini. 

Sehinggalah, pada tahun 2011 ketika kembali menyambung seorang pengajian pensyarah saya menimbulkan isu ini.

"Pernah tak dulu-dulu kamu beli barang, kalau ada baki sekupang dua (10-20 sen), tauke kedai tu tak bagi duit baki. Dia bagi coklat (gula-gula) kat kamu?" soalnya kepada saya dan rakan-rakan sekelas.

"Ingat-ingat," jawab kami terangguk-angguk.

"Tak boleh macam tu, kalau pembeli tak reda. Hatta sesen sekali pun kita kena bagi balik. Akad jual beli hanya sah bila kedua-dua pihak penjual dan pembeli saling meredai. Kita tak mau beli coklat, dia buat kita terpaksa beli. Tak sah jual beli tu."

Terjawab juga kemusykilan yang bersarang di benak saya sekian lama. Saya sangka hal ini tidak lagi berlaku di mana-mana. Namun, tahun berikutnya, saya mengalami situasi yang sama. Kali ini bukan di tanah air sendiri tetapi di Mekah.

Bezanya di sana, tidak semua orang reda dengan transaksi secara 'paksa' ini. Apabila duit baki perlu dipulangkan ada nilai sen di dalamnya, secara automatiknya juruwang akan memberikan coklat sebagai ganti.

Ada pelanggan yang bertegas mahukan duitnya dan menolak diberi coklat sebagai ganti. Saya masih ingat, sebelum berlalu pelanggan tersebut berkata kepada juruwang tersebut, "Haram. Haram." Sambil meninggalkancoklat tersebut di kaunter.


Peniaga punya pilihan untuk memudahkan mereka dan juga pelanggan. Jika begitu polisinya, genapkan saja harga barangan jualan. Peniaga tidak perlu menyediakan duit syiling dan pelanggan juga senang hati.



Thursday 12 February 2015

Tidak Pernah Menghampa

Teks      : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar : www.suarapemikir.com


Peduli apa orang mahu kata.

Bila kita meminta padaNya.


DIA tidak pernah menghampa.

Tiga tak dapat, Dia mahu beri empat.


Ikat ketat-ketat.

Pegang erat-erat.

Dakap kuat-kuat.



Tukang Urut Dengan Pendapatan Hampir RM10,000 Sebulan

Teks      : Nor Adilah Ahmad Shokori


Bagi seorang bekas pesakit strok seperti ayah saya, menjadi rutinnya setiap minggu untuk berurut dengan seorang tukang urut yang dikenali sebagai Pak Man.

Pak Man cuma seorang lelaki biasa dalam lingkungan usia 60-an yang dulunya gemar bermotosikal ke mana-mana.

Apa yang menariknya, walaupun ramai yang berminat untuk menggunakan khidmatnya, dia tidak 'sapu' semua. Dia memilih siapa pelanggannya.

Dia sendiri tahu apa yang dia mahu. Matlamatnya jelas. Dia ingin membantu mereka yang mempunyai masalah kesihatan yang serius supaya dapat menikmati hidup yang lebih baik. Suatu kepuasan bagi dirinya apabila melihat perubahan positif yang dialami oleh para pelanggannya selepas beberapa sesi urutan dilakukan.




Hati mana yang tidak gembira, melihatkan mereka yang asalnya hanya terbaring di atas katil, kemudiannya sudah mampu untuk duduk meskipun hanya di atas kerusi roda (dengan izin Allah). Tidak ada yang lebih membahagiakan kecuali apabila para pelanggannya menyatakan rasa syukur kerana dapat beribadat dengan lebih sempurna.

Sememangnya Pak Man sudah tidak menang tangan. Justeru, jika ada yang inginkan khidmatnya bagi masalah yang biasa contohnya sekadar lenguh-lenguh badan, maka Pak Man terpaksa menolak permintaan tersebut. Malah, permintaan yang datang dari serata ceruk tanah air hatta oleh orang-orang kenamaan sekalipun terpaksa ditolaknya.

Bagi Pak Man cukuplah berkhidmat di sini. Itu pun ramai lagi yang masih menanti. Bak lirik lagu kumpulan Ukays, "Kalau ku pilih di sana, di sini akan terluka."

Dalam hal ini, saya puji tindakannya. Dia tidak mudah gelap mata. Bukan wang yang menjadi sandaran utama. Walaupun upah yang bakal diterimanya jauh lebih lumayan jika mahu dibandingkan dengan apa yang diperolehinya pada masa sekarang.

Namun begitu, kerja-kerja mengurut ini bukanlah mudah. Selain berbekalkan kemahiran sedia ada, tugas ini menuntut kudrat yang bukan sedikit. 

Jumlah pelanggannya setiap hari sejumlah 10 orang di mana setiap pelanggan akan menjalani tempoh berurut lebih kurang sejam setengah dengan kadar upah RM 40 seorang (biasanya pelanggan akan beri lebih). 

Jadi, secara puratanya, pendapatan kasarnya setiap bulan hampir mencecah RM 10,000 sebulan. (RM 40 x 10 orang x 23 hari)

Selain itu, Pak Man juga menjual minyak angin buatan sendiri dan ada kalanya dia turut menjual madu lebah.

Kerjaya ini bukan semua orang mampu melakukannya. Keluar rumah seawal pagi dan masih mengurut hingga ke tengah malam.  Cukup meletihkan. Tidak hairanlah apabila Pak Man kini mengupah anaknya sebagai pemandu.

Dengan cara begini, dia dapat berehat seketika sebelum tiba ke destinasi seterusnya. Rezeki Allah ada di mana-mana untuk sesiapa saja yang sanggup berusaha kerana yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang.

Saya segan mahu ambil gambar Pak Man. Nanti-nantilah ya?




Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015