Showing posts with label Catatan Pengalaman. Show all posts
Showing posts with label Catatan Pengalaman. Show all posts

Monday 2 June 2014

Kenapa Hanya 9/10 Punca Rezeki Daripada Perniagaan?

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori

"Lambat datang kelas hari ni Din? Kelas dah start setengah jam, baru kamu sampai."

"Boleh saya duduk dulu ustaz? Penat la ustaz. Hari ni banyak sangat order. Saya bawa motor habis laju dah tu."

"Kamu berniaga ayam kan? Hebat kamu ni, bisnes ayam sambil sambung master. Kamu semester berapa?"

"Ya, ustaz. Saya bisnes ayam segar. Siapa nak beli ayam, boleh order dengan saya. Promote sikit ye ustaz? Siap delivery lagi. Ni semester akhir ustaz. Ustaz tolong doa saya lulus. Ustaz pun tolong la bagi saya lulus paper ustaz."

Gelak.

"Bagus Din. Saya suka kamu berniaga. Sembilan per sepuluh rezeki daripada bidang perniagaan. Tapi kamu tahu tak kenapa tak disebut sepuluh per sepuluh rezeki ada dalam bisnes? Kalau banyak sangat rezeki tu, lebih baik sebut sepuluh per sepuluh saja kan?"

"Satu per sepuluh lagi dalam kerja makan gaji ustaz. Kalau sepuluh per sepuluh, maknanya orang makan gaji tiada rezeki pula," balas Din berseloroh.

"Itu satu sisi, masih ada sisi yang lain untuk kita kutip sebagai peringatan. Satu per sepuluh ini ingatan dan amaran untuk para peniaga supaya jujur dalam bisnes. Rezeki yang banyak memang Allah tetapkan melalui jalan bisnes. Disebabkan mengejar rezeki yang banyak inilah yang menyebabkan ramai menyeleweng. Jangan menipu dan ambil kesempatan atas pelanggan. Ingat amaran Allah kepada peniaga yang tidak amanah. Di mana tempat untuk mereka ini?" tegas ustaz dengan wajah yang cukup serius.

"Saya tak menipu pelanggan, ustaz. Kadang saya lebihkan timbangan untuk mereka."

"Alhamdulillah. Senang hati saya. Ada satu lagi perkara yang saya nak tanya kepada kamu? Kamu tahu tak ayam kalau sembelih pun boleh jadi bangkai? Jaga-jaga bab ni. Saya selalu tengok dekat pasar, ramai yang berniaga ayam ambil mudah hal ni."

"Cuba ustaz huraikan, saya kurang jelas," Din nampak keliru.

"Kamu sembelih sendiri ayam atau siapa yang buat?"

"Saya ada pekerja. Kalau tak menang tangan, baru saya tolong," Din menjelaskan.

"Ok, kamu sembelih ayam lepas tu ayam (yang telah disembelih) kamu lempar ke dalam bakul. Kamu sembelih lagi, lempar lagi masuk bakul. Macam tu prosesnya kan, berulang-ulang kali? Sampai penuh bakul. Betul tak?"

"Kamu pasti ayam yang kamu sembelih mati kerana disembelih? Atau sebenarnya ayam yang kamu sembelih itu belum sempat mati kerana disembelih tapi mati kerana dihempap oleh ayam-ayam lain di atasnya. Pendek kata mati kerana sesak nafas."

"Tak pastilah ustaz. Saya tak check pun."

"Din, kamu kena ambil tahu tentang ni. Balik nanti tolong check. Cari jalan dan cara untuk pastikan betul-betul. Kita nak cari rezeki yang halal. Buat apa kalau kita senang dunia, akhirat esok kita merana. Saya nak pesan kepada kamu, kamu kena mengaji ilmu agama juga, jangan mengaji bab dunia saja ye."

--------------------------------------------------------------------
 
Selamat datang pelajar Jun 2014, Alhamdulillah menghala 1000 pendaftaran. 11 guru online dedikasi bertugas. Boleh sertai mana-mana kelas berikut:

1. Kelas asas blog dan penulisan
2. Kelas asas blog mula bisnes
3. Kelas penulisan kreatif
4. Kelas borong telekung solat.
5. Kelas akaun online offline
6. Kelas penulisan ebook pertama
7. Pendaftaran agen makanan sunnah (kurma, tin, zaitun,etc) projek duit raya 
http://projekduithariraya.blogspot.com/
8. Tempahan blog bisnes
9. Pendaftaran pengurus online
10. Boleh beriklan dengan kami puatan 700 blog.
Keterangan ada di sini ww.akademibekerjadirumah.com juga baca di sini, 
Pendaftaran dan pertanyaan boleh terus melalui saya.
Facebook : Nor Adilah
Email       : noradilah.ahmadshokori@gmail.com
SMS         : 016 - 461 4541
 



Wednesday 28 May 2014

Anak Pensyarah Jual Kuih

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar : Google

Pensyarah saya bercerita, beliau paksa anaknya belajar dan buat kuih raya untuk dijual. Alasannya mudah, anaknya hidup terlalu selesa. Nak duit hanya minta saja. Tidak tahu susahnya ibu bapa mencari duit. Biar dia kenal erti susah, biar dia belajar erti hidup.

Saat kawan saya bertanya, "Prof tak segan orang mengata?" Beliau ketawa. "Orang mengata anak pensyarah jual kuih?" Soalan dijawab dengan soalan. "Biarlah orang nak kata. Berapa lama orang nak mengata? Esok-esok dah penat, mereka berhentilah. Saya lagi malu kalau anak saya tak tahu nak buat apa-apa dalam hidupnya."

Beliau dan suami bukanlah tidak mampu tapi mereka memandang jauh ke hadapan. Mereka punya misi dan visi sendiri dalam membentuk anak ini. Beliau tidak kisah apabila orang mula mengata dan mempertikaikan keputusannya yang dilihat seolah-olah tidak berduit.

Bagaimana beliau merencana perjalanan anaknya dalam bidang usahawan? Pada mulanya, beliau hantar anaknya untuk belajar cara membuat kuih tat nanas. Anaknya hanya perlu membuat dan menjual satu jenis kuih sahaja pada bulan Ramadan dan Syawal.


Berdepan dengan cakap-cakap orang sekeliling tidak sesukar memujuk si anak menurut saranan dan cadangannya. Jiwa anak muda yang sudah terbiasa hidup senang terlalu payah untuk ditundukkan. Malu dengan rakan-rakan, tidak class dan 1001 alasan diberikan si anak.


Hampir mati akal pensyarah saya ini dibuatnya. Sehinggalah beliau mencabar anaknya untuk menanggung sendiri yuran pengajian semester hadapan dan segala perbelanjaan berkaitan tanpa bantuan orang tua. 

Kelu lidah si anak apabila melihat ibu dan ayahnya memuktamadkan kata. Meski hati memberontak, si anak terpaksa menurut dalam keadaan terpaksa.

Sebagai persediaan, beliau mengeluarkan modal untuk membeli oven, peralatan membuat kuih dan bahan mentah. Soal promosi anaknya tidak perlu bimbang kerana kuih yang sedap akan menjadi buah mulut orang dengan cepat.

Kuih tat yang dibawa oleh beliau untuk dijamu kepada teman-teman pensyarah dalam satu majlis nyata mendapat sambutan yang cukup hebat. Malah, tempahan yang diterima bertali arus.

Anaknya juga tidak terkecuali dalam melakukan promosi. Sampel-sampel kuih dibawa kepada para pensyarah dan rakan-rakan sekuliah untuk dirasa. Tidak menang tangan anaknya membuat kuih sehingga terpaksa mengupah beberapa rakan untuk membantu.

Pada akhir Ramadan, hasil jualan yang terkumpul adalah sebanyak RM 30,000. Melonjak sakan si anak apabila menatap hasil titik peluhnya.

Rupa-rupanya kegembiraan itu tidak lama. Lucunya apabila pensyarah ini menuntut kembali modal yang telah didahulukan ketika anaknya memulakan bisnes. Bukanlah kerana ingin mengambil kesempatan ke atas anaknya, cuma sekadar mendidik anaknya untuk memahami konsep dan dunia bisnes sebenarnya.

Kini anaknya sudah mampu berdikari. Tiada lagi suara manja memujuk dan merayu meminta wang untuk membeli sesuatu. Lebih membanggakan apabila si anak menyatakan hasrat untuk terus berkecimpung dalam dunia perniagaan.



Monday 26 May 2014

Jutawan Senyap Dari Kalangan Pendatang

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar : Google

Ketika saya masih bersekolah, ada satu artikel dalam akhbar yang saya masih ingat sampai ke hari ini yang bertajuk Datang Naik Tongkang, Pulang Naik Kapal Terbang. Bukan itu saja, malah rancangan Majalah 3 turut memaparkan kisah tersebut.


Apakah yang cuba disampaikan melalui artikel dan rancangan itu? Ceritanya tentang pendatang asing warga Indonesia yang berhijrah ke Malaysia untuk mencari rezeki. Mereka datang ke Malaysia dengan menaiki tongkang tetapi apabila mereka kembali ke negara asal mereka, mereka sudah mampu untuk menaiki kapal terbang.

Zaman itu, belum ada kapal terbang tambang murah. Justeru, sesiapa yang menaiki kapal terbang dilihat mempunyai status sosial yang baik dan tinggi kerana kosnya yang agak tinggi. 

Kalau kita melihat cara mereka bekerja, boleh dikatakan mereka bekerja bermati-matian. Mungkin kerana mereka sudah terbiasa hidup susah di kampung halaman mereka. Maka alah bisa, tegal biasa. Berhujan dan berpanas adalah perkara biasa bagi mereka yang rata-ratanya bekerja sebagai buruh kontrak di tanah air kita.

Setelah bertahun-tahun memerah keringat di bumi asing, akhirnya mereka kembali ke tempat asal mereka. Terlopong saya ketika itu ditunjukkan rumah yang mereka miliki di Indonesia. Mereka memiliki segala-galanya, rumah banglo, tanah sawah, kebun buah-buahan, binatang ternakan dan perniagaan.

Jerit perih mereka di sini memberikan pulangan yang cukup mewah buat mereka. Semua itu tidak datang sekelip mata. Banyak yang mereka korbankan itu sampai ke tahap itu. 

Pengorbanan terbesar pastinya dengan meninggalkan kampung halaman dan keluarga yang jaraknya beribu batu. Kemudian apabila bekerja di sini terpaksa tinggal berhimpit-himpit di rumah kongsi dan makan pakai hanya sekadar perlu buat mereka.

Itu kisah buruh kontrak Indonesia. Lain pula halnya dengan warga Kemboja yang merupakan pelarian perang. Tetapi ada satu persamaan mereka iaitu mereka, mereka bersusah payah dan bertungkus-lumus untuk berjaya.

Apa yang saya perhatikan, orang Kemboja suka berniaga pakaian. Antara yang mereka lakukan untuk menyara kehidupan di Malaysia ketika mula-mula menjejakkan kaki ke sini adalah menjaja dari rumah ke rumah.

Mereka mengendong dan menjunjung sebongkah besar bungkusan berisi pakaian untuk dijaja ke kampung-kampung dan taman perumahan. Boleh anda bayangkan sebesar mana bungkusan kain itu? Dengan tubuh mereka yang kecil itu, tuan rumah terpaksa membantu mengangkat bungkusan kain itu untuk diletakkan di atas kepala mereka.

Kadang-kadang terhuyung-hayang tubuh mereka yang kecil itu untuk mengimbangi berat bungkusan tersebut. Hari ini, kedai-kedai kain milik mereka boleh didapati dengan mudah. Mereka sudah tidak menjaja dari rumah ke rumah.

Komuniti mereka cukup kuat dan utuh serta saling menyokong dan mendokong. Mereka tidak perlukan bantuan daripada masyarakat luar kerana mereka mampu menjaga kebajikan komuniti mereka di sini.

Bahkan, generasi kedua dan seterusnya sudah ada yang bergelar profesional dalam negara dengan biaya mereka sendiri. Tidak hairanlah apabila sebuah pasar di sempadan Pulau Pinang dan Perak dinamakan dengan nama Pasar Kemboja. Sampai begitu sekali kesungguhan mereka berniaga diiktiraf.

Masyarakat Aceh yang berada di Malaysia kini juga tidak kurang hebatnya. Boleh dikatakan bisnes kedai runcit dan warung makan dimonopoli oleh mereka. Rakyat tempatan juga senang berurusan dengan mereka. Lebih dari itu, pembekal turut menaruh kepercayaan kepada mereka.

Semua ini adalah kisah-kisah jutawan senyap yang berjaya. Ada yang bermula dengan berniaga, ada juga yang mengumpul modal dengan bekerja sebelum berniaga.

Tumpanglah semangat dan tirulah kesungguhan mereka dalam berniaga. Semua orang layak untuk berjaya. Semua orang layak untuk berbisnes dan lakukanlah kerana Allah. 

Nantikan kisah-kisah kejayaan warga asing yang lain dalam dunia perniagaan  ini pada entri yang akan datang.




Saturday 26 April 2014

Kempen Hijau

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google

Assalamualaikum.

Simpan dahulu sebelum berbelanja bukan sebaliknya. Setiap kali menerima pendapatan, asingkan bahagian yang ingin disimpan. Selebihnya digunakan untuk perbelanjaan dan sebagainya.

Kadar yang disarankan untuk disimpan adalah sebanyak 10 peratus. Namun, jumlah yang ingin disimpan itu terpulang kepada individu tersebut. Tidak ada gunanya kita menyimpan sejumlah wang yang banyak setiap bulan, tetapi di akhirnya kita mengeluarkan wang tersebut untuk dibelanjakan.

Simpanan bukanlah untuk dibelanjakan sewenang-wenangnya. Malah simpanan juga harus dibahagikan kepada beberapa bahagian sesuai dengan keperluan dan matlamat sebenar. Contohnya simpanan untuk kecemasan, haji dan sebagainya.

Selain daripada keperluan, manusia juga mempunyai nafsu yang berkehendakkan terhadap sesuatu. Fitrah ini perlu diurus dengan sebaiknya. Ramai yang tewas dan dibelenggu masalah kewangan ekoran terlalu menurut kehendak.

Antara langkah bijak dalam memenuhi kemahuan dan kehendak ini adalah dengan menggunakan kaedah tabungan khusus. Kaedah ini dapat melatih diri berbelanja mengikut kemampuan dan mengelakkan berhutang.

Apabila timbul keinginan untuk membeli sesuatu, satu tabungan khusus perlu dibuat. Peruntukan daripada pendapatan yang diperoleh akan digunakan untuk tabungan khusus ini. Pada masa yang sama tidak menjejaskan tabungan tetap yang telah dibuat setiap bulan.


Dalam merealisasikan tabungan khususnya ini beberapa perkara kemahuan lain perlu dikurangkan atau dikorbankan untuk sementara waktu. Misalnya perbelanjaan untuk makan di luar atau perbelanjaan untuk hobi dan lain-lain lagi. Oleh yang demikian, bajet untuk memenuhi kehendak yang baru ini dapat diadakan. 


Kaedah tabungan yang lebih praktikal untuk dibuat adalah seperti yang dicadangkan oleh Tuan Shamsuddin Kadir kepada peserta kursus kewangannya iaitu menyimpan wang kertas RM 5 yang dimiliki. Setiap helai wang kertas hijau ini (RM 5) perlu disimpan dan dimasukkan ke dalam tabung khas.


Wang ini tidak boleh dibelanjakan sama sekali. Jika ingin berbelanja, gunalah wang kertas yang lain kerana si hijau ini dikhususkan untuk simpanan. Jika kaedah ini diamalkan secara konsisten dan disiplin yang tinggi, sudah tentu hasilnya tidak akan mengecewakan.


Kempen si hijau ini boleh dilanjutkan ke satu tahap lagi iaitu kempen si oren. Si oren merujuk kepada wang kertas RM 20. Sesuai dengan angkanya yang lebih besar, maka cabarannya agak hebat untuk menyimpan si oren ini. Tidak mudah untuk mengekang kehendak dan kemahuan berbelanja dengan nilai tersebut di tangan.


Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa si hijau dan si oren yang dipilih? Sebenarnya, kedua-dua wang kertas ini agak jarang diperoleh. Disebabkan jarang diperoleh, maka lebih mudah untuk disimpan jika dibandingkan dengan wang kertas RM 1 dan RM 10.


Saya sendiri pernah mempratikkan amalan menabung dengan cara ini. Ini berpunca daripada kesukaran untuk melatih diri saya menabung. Oleh kerana saya masih belajar dan wang tidak banyak, jadi saya memilih untuk menabung semua wang syiling yang saya miliki.


Apatah lagi, dompet saya ketika itu tidak ada tempat untuk meletakkan duit syiling. Kekurangan itu menyebabkan saya tidak selesa untuk membawa duit syiling. Hikmahnya, semua duit syiling yang saya dapat, terus saya masukkan ke dalam tabung.




Hasilnya memang sangat mengujakan. Setiap penghujung semester, jumlah yang terkumpul mencecah ratusan ringgit. Cabaran terbesar saya apabila duit-duit syiling itu ditukarkan kepada duit kertas, yang mendorong saya untuk berbelanja secara berlebihan.


Kebanyakan kawan-kawan di kolej yang tahu saya mengumpulkan duit syiling akan datang beramai-ramai ke bilik saya untuk menukar duit kertas mereka  dengan duit syiling saya. Mereka terpaksa menukar duit kertas dengan duit syiling kerana ingin menggunakan mesin basuh di kolej. Sedangkan helaian  wang kertas sering menggoda saya untuk berbelanja dan inilah kelemahan saya ketika itu. 

Bagi yang ingin memulakan kempen si hijau ini, saya doakan anda berjaya. Mudah-mudahan anda dapat hidup dengan tenang tanpa hutang.



ِ

Tuesday 22 April 2014

Menjemput Rezeki : Beri Kucing Makan

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google

Bismillah.

Semasa berbual dengan seorang rakan, saya cuba mencungkil rahsia di sebalik kejayaan bapanya dalam dunia perniagaan. Dia terdiam mungkin cuba mengingat kembali.

Bapanya pernah mengalami zaman kejatuhan sebelum bangkit membina empayar perniagaannya seperti hari ini. Banyak halangan dan kepayahan yang terpaksa ditempuh sebelum bapanya berjaya.

Diuji dengan masalah rumah tangga yang berakhir dengan penceraian. Dalam masa yang sama bergelut dengan bisnes yang mulai merudum. Malah keadaan menjadi lebih sukar apabila ditipu rakan kongsinya sendiri.

Sebagai anak, dia melihat bapanya melalui kehidupan yang cukup sukar. Meskipun bapanya cuba menyembunyikan masalah yang dihadapi daripada pengetahuan orang lain. 

Satu persatu harta milik bapanya berpindah milik. Semuanya hilang sekelip mata. Hanya tinggal sehelai sepinggang. 

Macam-macam kerja yang dilakukan oleh bapanya untuk mendapatkan sesuap nasi. Ketika itu hidup ibarat kais pagi, makan pagi. Kais petang, makan petang.


Sehinggalah suatu hari, ketika sedang duduk di kaki lima untuk makan, tiba-tiba datang seekor kucing yang entah dari mana datangnya. Bapanya yang baru ingin menyuap nasi ke mulut, berhenti berbuat demikian. 

Kasihan melihat kucing itu, bapanya memberikan sedikit nasi bersama ikan goreng kepada kucing tersebut. Walaupun bapanya sendiri sudah beberapa hari hanya mengalas perut dengan air paip.

Bapanya ralit memerhatikan kucing itu makan. Terselit di hatinya, kucing ini juga lapar seperti aku. Kemudian datang pula kucing yang lain. Sekali lagi, bapanya memberikan kucing itu pula makan. 


Kucing-kucing yang datang meminta makanan kepada bapanya semakin banyak. Semuanya diberikan makanan, tidak ada yang dibiarkan oleh bapanya. Akhirnya, nasi di tangan bapanya telah pun habis tanpa sempat dijamah oleh bapanya walaupun sesuap. Bermakna bapanya perlu berlapar untuk tempoh sehari lagi.

Keesokkan harinya, perkara yang sama berulang. Malah kucing yang sama meminta makanan daripada bapanya walaupun bapanya makan di tempat yang berbeza dan jauh berbanding sehari sebelumnya. Peristiwa yang sama berlaku setiap hari selama seminggu.

Lalu, kucing ini dibawa pulang ke rumah kawan tempat bapanya menumpang tinggal. Kucing ini dimanjakan dan dijaga dengan baik. Bahkan kucing ini akan diberi makan terlebih dahulu sebelum bapanya sendiri makan.

Empat lima hari kemudian, seorang rakan bapanya mengajak untuk bertemu dan dalam pertemuan itu, bapanya ditawarkan untuk menguruskan sebuah projek. Di situlah titik tolak kebangkitan semula bapanya dalam dunia perniagaan.

Bertali arus projek yang masuk sehingga bapanya tidak menang tangan. Dengan bantuan dan pertolongan rakannya itu, (dan pastinya dengan izin Allah) nama bapanya berjaya dikeluarkan daripada senarai muflis.

Hari ke hari, rezeki bapanya makin bertambah seiring dengan usaha dan doa tanpa jemu. 

Putaran roda, jika tiga tahun dahulu bapanya terpaksa bergelut dengan saat sukar, maka kesusahan itu telah digantikan dengan kesenangan. 

Perbualan saya dengan anaknya hanyalah sekadar cerita tentang kucing-kucing yang dibela oleh bapanya telah membuka ruang untuk saya belajar pengalaman jatuh bangun seorang jutawan.

Bapanya bukan seorang penggemar kucing namun kini memelihara puluhan ekor kucing di rumah. Bagi bapanya, selain ibu yang mendoakannya, rezeki yang melimpah ini adalah berkat memberi makan kucing.

Malah, sekarang ini bapanya menggajikan dua orang pekerja untuk menguruskan segala keperluan kucing-kucingnya. 

Kucing seperti juga haiwan-haiwan lain tidak mampu membalas jasa manusia. Namun berbuat baik kepada haiwan seperti kucing membuka jalan untuk menjemput rezeki dengan cara yang lebih mudah.

Wallahu'alam.



Saturday 19 April 2014

Allah Buat!

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Nor Adilah Ahmad Shokori



Minggu lepas, dahan pokok milik jiran patah. Kena wayar elektrik dan telefon rumah ayah, putus wayar tu. Faris, anak buah yang semakin petah bercakap sibuk duk tanya Mak Teh dia.

"Ape tu?"

"Pokok tumbang."

"okok umbang?"

"Pokok tumbang kena wayar tu. Putus."

"Ooo...Sape wat (buat)?"

"Allah buat."

"Allah tu sape?"

"Allah tu yang buat semua benda. Buat Faris, buat Mak Teh, buat umi, buat pokok."

"Aner (mana) Allah?"

"Allah ada kat mana-mana. Dia nampak apa yang kita buat."


Tangan dah siap nak lempar kopiah tok ayah.


"Tak baik baling barang. Allah nampak." Dan-dan (Masa tu juga) letak balik kopiah atas meja.


Petang tu, Mak Lang pulak tanya kat Faris.

"Faris, pokok tumbang sapa buat?"

"Allah wat (buat)!"

"Allah ada kat mana?"

"Allah gi keje."

"Allah pi mana?"


"Allah gi sekolah."

Alahai, Faris! Alhamdulillah. Bila dengar Faris cakap macam tu, rasa tenang. Perasaan nak marah itu jadi reda bila kita kembali mengenang bahawa tidak ada sesuatu pun yang akan berlaku tanpa izin Allah. Wallahu'alam.





Monday 14 April 2014

Raudhah : Dulu dan Sekarang

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google

Bismillah.




Saya teringatkan Raudhah di Masjid Nabawi. Patutlah mak kata Raudhah sudah lain. Lain macam mana? Walaupun mak awal-awal lagi dah maklumkan kepada saya, tetapi saya masih tidak dapat nak bayangkan keadaan itu.

Sehinggalah saya kembali semula ke situ pada tahun 2011. Kali kedua dijemput menjadi tetamuNya. Lama jarak waktunya berbanding kunjungan kali pertama berbelas tahun dahulu.




Sangat ketara perbezaannya. Setelah saya amati betul-betul, barulah saya teringat akan beberapa perkara. Dulu, jemaah tidak perlu berkumpul dan menanti giliran untuk ke Raudhah.

Hanya masuk melalui pintu yang ditetapkan dan terus ke Raudhah. Belum ada sistem seperti sekarang. Ketika itu jemaah Asia Tenggara khususnya dari Malaysia memang akan ditolak dan dirempuh oleh jemaah lain yang bertubuh besar.

Saya dan mak ketika itu, bergerak mengikut arus yang dibawa oleh jemaah. Apatah lagi dengan tubuh kami yang kecil. Langsung kaki tidak memijak lantai masjid. Kami dihimpit kiri, kanan, depan dan belakang.

Jadi dengan sistem yang ada sekarang, jemaah Asia Tenggara berada dalam lingkungan mereka sahaja. Susuk tubuh dan budaya yang tidak jauh bezanya. Namun yang sedihnya, masih ada jemaah wanita yang suka merempuh, tolak-menolak malah ada juga yang berlari. Allah. Allah.





Momen yang paling saya rindui sudah pastilah apabila dapat berada betul-betul di hadapan makam Rasulullah SAW dan para sahabat. Seperti mana jemaah lelaki berpeluang untuk berada di situ (seperti gambar di atas).

Suatu ketika dulu, jemaah wanita juga memiliki peluang yang sama. Walau bagaimanapun, ruang dan peluang itu sudah tidak ada kerana pandangan itu terhalang oleh kanvas yang direntangkan di situ.

Terasa seolah-olah kubah hijau sedang melambai-lambai saat ini. Rindu serindu rindunya. 


Wallahu'alam.




Tuesday 8 April 2014

Rancho Versi Melayu


Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google



Siapa pernah tengok filem 3 Idiots? Filem yang cukup bagus dari sudut jalan ceritanya. Seperti mana filem-filem hindustan yang lain, memang tak dapat lari dari elemen cinta. Tapi yang bestnya, dalam cerita ini tema utamanya adalah persahabatan yang berjaya memikat hati penonton termasuk saya.

Jalan cerita yang menarik, kelakar pada masa yang sama terdapat babak-babak serius. Banyak pengajaran yang kita dapat kutip daripada filem ini dalam keadaan yang menghiburkan. Berkisahkan tentang tiga orang sahabat baik yang belajar di sebuah kolej kejuruteraan terbaik di India.

Sesiapa yang pernah menonton pasti ingat dengan watak utamanya yang dilakonkan oleh pelakon yang sentiasa awet muda iaitu Amir Khan. Haha. Dalam filem ini, beliau memegang watak sebagai  Ranchoddas atau digelar Rancho oleh teman-temannya.


Kita sedia maklum, watak Rancho sebagai seorang pelajar yang bijak dan pintar. Namun, beliau terperangkap dalam sistem pendidikan yang hanya berorientasikan peperiksaan (exam oriented) semata-mata. Kalau nak tahu lebih lanjut cerita tersebut boleh tonton filem tu sepenuhnya.

Ok, berbalik kepada tujuan asal entri ini ditulis bukanlah untuk review filem 3 Idiots yang mendapat sambutan cukup hangat daripada penonton, tapi saya ingin mengajak pembaca (ada ke orang baca blog saya ni? huhu) mengenali seorang insan yang persis Rancho atau boleh saya gelarkan Rancho versi Malaysia.

Kenapa saya katakan beliau Rancho? Rancho ni seorang yang kreatif dan inovatif. Boleh menterjemahkan ilmu yang dimiliki dalam kehidupan dan menyesuai padan dalam apa juga bentuk situasi dan keadaan. 




Inilah individu yang ingin saya ketengahkan. Masih ingatkah kita pada suatu nama yang selalu diperkatakan di media massa suatu ketika dahulu tentang rekaciptanya yang sungguh luar biasa. Beliau yang saya maksudkan adalah Tuan Zulkifli Haron.

Pelbagai mesin dan jentera yang beliau hasilkan. Masa saya membaca dan menonton kisahnya, ternganga mulut saya dibuatnya. Tak sangka ada anak tempatan yang mampu menghasilkan produk-produk sedemikian. Selalunya kita banyak disogokkan dengan kehebatan orang-orang luar yang dikatakan hebat dan gah. Rupanya, orang kita pun apa kurangnya. Cuma publisiti itu yang tidak ada.

Melihat produk-produk yang dihasilkan olehnya, memang terbaiklah. Macam-macam yang direka oleh Tuan Zul atau lebih dikenali sebagai Zul Tech. Antaranya, mesin buka kulit durian (yang mampu mengupas 4 biji durian dalam masa seminit), mesin kuih tat dan semperit, beca elektrik dan banyak lagi termasuk projek untuk OKU dan rekayu. Malah ada juga projek-projek khas untuk membantu pengusaha IKS dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan. 

Menariknya, beliau turut membuka peluang kepada orang ramai untuk mempelajari bidang ini dalambentuk latihan dan kursus-kursus dan yang lebih istimewanya ini adalah berdasarkan kajiannya selama 20 tahun yang telah terbukti berjaya. Buktinya adalah Tuan Zul Tech sendiri. Kursus dan latihan yang ditawarkan juga sesuai dengan cara dan pemikiran masyarakat tempatan di Malaysia. Justeru, sebarang maklumat lanjut boleh dapatkan di SINI.

Alangkah baiknya jika kursus yang ditawarkan oleh beliau dapat diperluaskan dengan kerjasama badan-badan kerajaan seperti MARA dan sebagainya, sudah tentu ramai yang akan dapat manfaatnya. Mungkin juga boleh dipertimbangkan untuk dibawa ke peringkat lebih awal contohnya di sekolah menengah. Mana tahu lebih ramai anak Malaysia yang berbakat seperti Zul Tech yang dapat dilahirkan kelak. Siapa tahu kan?







Saturday 5 April 2014

Alergi Makanan Laut

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google


Saya kurang gemar makan ayam. Selalunya ayam adalah pilihan terakhir yang saya akan makan. Masa kat kampus, kawan-kawan saya hampir semuanya suka makan ayam. 

Saya pula,kalau nak makan yang special sikit, saya akan beli atau order lauk daging atau pun seafood macam udang atau sotong. Kalau ada kawan-kawan yang bagitau tak boleh makan seafood mesti saya pandang pelik je.




Sedap kot seafood. Rugi siapa yang tak makan. Hilang satu nikmat dunia. Tapi tu cerita dulu, sekarang ni saya pun dah tak boleh nak makan sangat sebab ada alergi. Tengok, Allah bayar cash kat saya. 

Saya sendiri tak sedar bila saya ada masalah ni. Sebelum ni memang saya ada alahan pada bahan yang mengandungi pewangi. Contohnya shower gel dan deodorant.

Mungkin alergi terhadap seafood ada. Cuma tak teruk dan saya pun tak perasan. Kemuncaknya, bila saya rasa gatal-gatal satu badan walaupun saya hanya pakai sabun dan deodarant yang tidak ada pewangi di dalamnya.

Di celah jari tangan dan kaki khususnya, ada banyak biji-biji (yang berair). Saya jumpa beberapa orang doktor, mereka kata saya ada allergi kepada seafood selepas diperiksa. Macam tak percaya mulanya.

Jadi, saya bereksperimen sendiri. Bila saya tak makan seafood, masalah saya berkurangan. Takdelah duk tergaru-garu sampai luka dan berparut. Terpaksa ambil ubat doktor setiap hari. Kalau sehari skip makan ubat, confirm akan tergaru-garu jugak.

Dah la ubat yang doktor bagi mengantuk. Lepas tu, hari-hari kena makan, dengan ubat sapu lagi. Ubat cuci pun ada. Nak kata baik terus pun tak juga. 

Maka, bermulalah pencarian saya setelah berbulan-bulan telan ubat doktor. Macam-macam supplement yang saya cuba, semuanya sama je. Mungkin bukan rezeki saya.Sehinggalah satu hari, saya terbaca tentang Alfalfa.

Takut juga nak cuba. Takut jadi apa-apa pula nanti. Lama juga saya study dan kaji pasal Shaklee dan alfalfa. Dah macam buat research pula. Dah puas hati dengan segala maklumat, baru saya yakin untuk beli.

Tak nampak kesan sangat masa awal-awal tu. Salah saya juga, saya tak konsisten ambil Alfalfa ni. Kadang ambil, kadang tak. Saya tak rasa sebarang perubahan. 

Masa ni saya dah tinggal terus ubat doktor. Dah jemu makan ubat dan antibiotik. Lagi pun tak elok ambil antibiotik untuk tempoh yang lama. Ada kesan jangka panjang.

Satu hari saya nekad. Saya nak amalkan alfalfa secara konsisten. Dah alang-alang beli, makan je la. Saya dah tak peduli ada kesan atau tak.

Lama juga la baru saya perasan, saya dah kurang menggaru. Kulit dah tak gatal-gatal. Walaupun saya makan macam-macam makanan laut. Teringin tengok kerang, sotong, ketam dan siput. Saya main makan je.

Saya bukan setakat rasa, tapi saya makan dalam kuantiti yang banyak. Lepas beberapa hari, saya perasan kulit saya dah tak gatal bila saya konsisten ambil alfalfa. Kalau skip dua tiga hari pun, still ok.

Alhamdulillah, saya rasa lega sangat. Sehingga ke hari ini, saya masih ambil alfalfa. Hasil yang sangat positif. Alhamdulillah, pastinya dengan izin Allah jua. Alfalfa ni banyak membantu.

Dah rasa sendiri kesannya, barulah saya terbuka hati untuk jadi ahli. Dapatlah beli dengan harga ahli yang jauh lebih murah. Bonus pun dapat. Alhamdulillah.




Nor Adilah
012-4200 676 



Tuesday 1 April 2014

Rindu Bertamu


Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Nor Adilah Ahmad Shokori

Alhamdulillah. Pada 19 Oktober 2012 hari Jumaat, kami bertolak dari Kelana Jaya ke KLIA dengan menaiki bas. Tepat jam 4 petang, penerbangan akhir berlepas meninggalkan tanah air selama hampir tujuh minggu. 

Mengulangi kembara bertiga pada tahun 1998 namun kali ini tempohnya lebih panjang. Jemputan dikirim oleh Allah melalui mak dan ayah. Sungguh kami rindu untuk bertamu di rumahMu, menziarahi kekasihMu. 




Astaghfirullah.




Friday 21 March 2014

Mati Itu Pasti

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google

Saya masih gagal untuk melelapkan mata sedangkan jam telah pun menginjak ke angka 3. Di sebelah katil tok saya, ada seorang pesakit buah pinggang yang ditemani oleh anaknya.

Beliau nampak lebih bertenaga berbanding ketika dimasukkan ke wad pada hari pertama. Saya melihat perubahan positif yang ditunjukkan olehnya. Lebih sihat dan bertenaga.

Beliau sudah mula bercakap walaupun dalam nada yang tersekat-sekat. Saya memerhatikan beliau tidur dengan lena, begitu juga dengan anaknya. Kemudian, saya pandang wajah tok saya, beliau juga lena. Lena dalam koma.

Siling hospital saya tenung lama. Kepala ligat berfikir macam-macam perkara. Tidak saya sangka, kami sekeluarga bakal diduga sedemikian rupa, mengubah seluruh kehidupan kami sekeluarga. 

Saya tersentak apabila tiba-tiba saja wad berubah wajah. Jika tadi hanya kedengaran suara ceria jururawat yang berbual sesama mereka, kini suara itu bertukar cemas. Mereka kalut dalam senyap. 

Tirai dipasang menghalang pandangan saya. Ketika itu cuma kedengaran suara doktor yang memberi arahan. Saya tidak pasti apa yang berlaku. Penuh dengan tanda tanya.

Lima minit berlalu, si anak dipanggil. Apabila saya terdengar doktor menyebut dengan jelas 3.40 pagi, mata saya terus terarah pada jam di dinding. Fahamlah saya, pesakit sudah tiada.

Telahan saya tepat. Itulah perkara pertama yang saya nampak ketika tirai dibuka. Sekujur tubuh yang tidak lagi bernyawa. 




Mati itu pasti. Tidak akan pernah lewat meskipun sesaat. Rasanya baru siang tadi doktor menyatakan beliau sudah boleh pulang ke rumah sehari dua lagi. Beliau benar-benar pulang, tapi kepulangannya ke hadrat Ilahi.

Kita semua akan mati. Walau sejauh mana kita pergi. Walaupun sekuat mana kita berlari. Hanya kepada Allah kita akan kembali.

Wallahu'alam.





Monday 17 March 2014

Petua Lembutkan Cucur



Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google




Alhamdulillah, dua tiga hari ni hujan dah mula turun, setelah kita melalui keadaan panas yang agak panjang. Kemudian disusuli pula dengan jerebu. Belum lagi dikira jerebu iman kita.

Cuaca yang redup dan sejuk macam ni cepat membuatkan kita berasa lapar. Sedap kalau dapat makan cucur panas-panas bersama secawan teh atau kopi panas.

Bagi sesetengah orang, buat cucur/jemput-jemput ni sangat mudah. Tapi ada juga yang merungut, bila dah sejuk cucur jadi keras. Saya bukanlah pandai sangat memasak dan petua yang saya dapat ini berdasarkan pengalaman dan pembacaan saya.

Semasa membancuh tepung, masukkan air secukupnya sebelum digaul. Adunan hanya perlu digaul sekali sahaja dan berhenti apabila air dan tepung sudah sebati. Abaikan kalau masih terdapat ketulan tepung di dalam adunan tersebut.

Apa kesannya kalau kita kacau berlebihan? Hasilnya nanti, cucur akan menjadi keras dan liat. Ini kerana gluten akan terhasil apabila kita menggaul tepung secara berlebihan. Gluten adalah jaringan serat yang terbentuk apabila air dan tepung diuli (seperti dalam pembuatan roti). Sudah tentu kita tidak mahu perkara ini berlaku.

Oleh itu, tepung perlu digaul pada kadar yang sangat minimum. Semakin banyak jaringan serat yang akan terhasil apabila semakin banyak kita menggaul. Sudah pasti kita tidak mahu perkara ini berlaku.

Selain itu, ada juga yang memasukkan telur ayam ke dalam bancuhan. Sesetengah  petua menyarankan agar telur dipukul sehingga kembang sebelum dicampurkan ke dalam bancuhan.

Banyak lagi petua-petua lain yang saya temui antaranya penggunaan air panas yang mendidih (menggantikan penggunaan air biasa), yis, baking powder, soda bikarbonat, perahan limau, minyak masak, water roux dan sebagainya.

Pada saya, setiap elemen yang dimasukkan ke dalam masakan mempunyai rasa yang berbeza. Kalau tidak banyak pun perbezaannya, sedikit pasti ada. Setiap orang punya cara tersendiri dalam memasak. Hormati perbezaan itu. Allah jadikan manusia berbeza hatta dalam soal citarasa. 

Cuma satu pesanan saya, janganlah dimasukkan semua elemen serentak. Takut lain pula jadinya. Haha.






Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015