Saturday 23 November 2013

Guru Oh Guru

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori
Gambar: Google


Kamu biadap!

Terkedu saya mendengarnya. Apatah lagi kata-kata itu meluncur laju daripada mulut seorang guru. Kata-kata itu tidak ditujukan kepada saya, malah saya juga tidak berada di dalam situasi tersebut. Saya hanya orang luar yang secara tidak sengaja terdengar guru muda itu melabel pelajarnya dengan label yang negatif.




Saya yang tidak ada kena mengena pun terkesan, apatah lagi pelajar-pelajar lain yang turut berada di dalam kelas itu. Saya tidak bersetuju dengan apa yang telah berlaku walau apa pun alasannya.

Saya tidak dapat membayangkan perasaan pelajar tersebut. Walau seteruk mana pun perbuatan seseorang pelajar, guru tidak sewajarnya menuturkan ayat yang kasar dan keras seperti itu. Emosi pelajar tersebut pasti tercedera.

Ada solusi yang lebih baik dalam mengangani pelajar yang corot akhlaknya. Carilah kebaikan yang dikerjakan olehnya dan pujilah perbuatannya. Pendekatan yang jauh lebih mudah yang membawa kebaikan kepada semua pihak. Cuma kata kuncinya ialah sabar. Sabar itu indah tetapi bukan mudah.

Semua orang berpeluang untuk menjadi baik. Janganlah kita menjadi orang yang menutup terus pintu untuk mereka berubah ke arah kebaikan. Hakikatnya kekerasan tidak akan mengubah apa-apa dan hanya memburukkan lagi keadaan.


Wallahu’alam.



Thursday 21 November 2013

Hendak Seribu Daya

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


Ketika saya tiba di Pasar Kemboja itu, mereka sudah mahu pulang. Mereka menjinjit beg plastik berisi barangan yang dibeli secara borong di situ. Saya dapat mengagak  yang beg itu sarat berisi pakaian.

Ya, mereka memborong barangan itu untuk berjualan di kilang tempat mereka bekerja. Saban minggu mereka akan datang ke pasar itu dengan menaiki bas untuk mendapatkan stok. Saya difahamkan mereka akan mengedarkan barangan tersebut kepada rakan-rakan yang lain untuk dijual di tempat kerja masing-masing.

Siapa mereka ini? Mereka itu adalah pendatang asing yang datang ke Malaysia untuk mencari rezeki. Keberadaan mereka di sini nampaknya bukan sekadar makan gaji malah lebih daripada itu. Mereka nampak kilang tempat mereka bekerja itu bukan sekadar tempat mereka makan gaji semata-mata namun lebih daripada itu. Kilang itu adalah lubuk duit mereka.

Saya pasti sebelum mereka memutuskan untuk menjual barang-barang tersebut, mereka melakukan sedikit kajian. Mereka mengkaji berdasarkan pemerhatian terhadap gelagat dan perbualan pekerja di kilang tersebut khususnya dalam kalangan wanita yang gemar berbelanja dan pada masa yang sama suka bergaya. Mereka berniaga bersungguh-sungguh. Bahkan mereka mengambil tahu perkembangan fesyen di negara ini. Tidak hairanlah jika mereka menyebut perihal tudung Fareeda, Datuk Siti dan sebagainya. Rasanya orang seperti mereka berilah apa sahaja mereka mampu menjualnya.

Sayang sekali rakyat tempatan yang bekerja di kilang bertahun-tahun lamanya tidak menggunakan kesempatan yang ada meski pun ruang dan peluang sudah terbuka luas di depan mata. Kalau pun ada, mungkin hanya seorang dua. Kebanyakannya selesa dengan apa yang ada, cukuplah sekadar makan gaji. Tidak perlu bersusah payah memikirkan soal modal, stok dan sebagainya.

Apa pun pokok pangkalnya adalah diri sendiri. Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Kejayaan itu milik sesiapa sahaja yang sanggup berusaha secara luar biasa. Insya-Allah.


Wallahua’alam.
Astaghfirullah.



Sunday 17 November 2013

Maafkanlah

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori


Saya terkenang kisah semasa saya berumur lima tahun. Ceritanya saya, tok ayah, tok dan seorang sepupu menghadiri satu majlis perkahwinan. Kami tiba agak lewat sekitar jam 4 petang kerana terdapat beberapa majlis yang perlu dihadiri sebelumnya.

Kami bertiga dijemput masuk ke dalam rumah sementara tok ayah saya menuju ke khemah yang disediakan untuk tetamu lelaki. Saya lihat masing-masing asyik berbual sesama sendiri. Kelibat tuan rumah tidak pula kelihatan sejak kami sampai.

Rumah itu bukanlah asing bagi saya dek kerana pertalian keluarga yang wujud antara kami maka saban tahun khususnya ketika lebaran rumah tersebut merupakan destinasi wajib yang akan kami kunjungi.

Tidak berapa lama kemudian saya lihat tuan rumah masuk. Agak janggal apabila dia pura-pura tidak kenal dan memalingkan wajahnya ke arah lain. Kemudian dia menjemput semua yang ada menjamu selera kecuali kami bertiga. Saya hanya mampu menelan air liur melihat orang lain menjamu selera. Saya masih ingat yang saya terkebil-kebil memandang wajah tok saya. Mujur kami sudah sering dipesankan dan diasuh agar jangan suka meminta-minta. Jika tidak sudah pasti saya memberontak apatah lagi saya memang betul-betul lapar. Saya cuma diam membungkam.

Sangka saya tuan rumah terlepas pandang tetapi apabila orang di hadapan, kanan, kiri dan belakang dipersilakan seorang demi seorang untuk makan saya tahu kehadiran kami tidak dialu-alukan. Kami bertiga membisu seribu bahasa. Tidak ada rungutan atau pun rengekan baik daripada saya mahu pun sepupu saya.  Ada juga tetamu yang bersimpati yang mengajak makan bersama. Namun tok saya menolak ajakan mereka dengan baik. 

Sepanjang perjalanan pulang saya asyik memikirkan tentang hal tersebut. Saya duduk di tepi tingkap kereta memandang rumah kenduri itu hingga hilang daripada pandangan mata. Saya tidak bertanya sepatah pun kepada tok saya apa yang berlaku sebenarnya.

Saya hairan, sebelum ini dia melayan kami sekeluarga dengan baik.  Kami bukanlah orang asing dengan mereka. Kami bersaudara. Pertalian keluarga yang dekat dan akrab. Mengapa kami dilayan sedemikian rupa? Apa salah kami? Mengapa dia pura-pura tidak mengenali kami sekeluarga? Setahu saya kami tidak mempunyai apa-apa masalah.

Saya terfikir satu perkara. Barangkali kerana tok dan tok ayah saya tidak setaraf dengan tetamu lain yang hadir. Tok ayah saya sekadar bekerja sebagai pemandu teksi dan kami datang juga dengan menaiki teksi. Tetamu yang hadir hebat-hebat belaka yang terdiri daripada orang-orang kenamaan dan golongan professional. Saya terdengar dia memanggil tetamu yang lain dengan gelaran terhormat.

Saya tidak pernah bercerita tentang kisah ini kepada sesiapa. Setiap kali saya tatap wajah itu, saya tidak akan lupa bagaimana dia melayan kami suatu masa dahulu. Sangat berbeza apabila saya berkunjung dengan kedua ibu bapa saya. Sejak dari insiden tersebut, saya kurang menyenanginya. 

Sehinggalah saya bertemu dengannya setelah sekian lama. Saya lihat dia terpaksa dipapah oleh anak-anaknya. Dia sudah tua. Kudratnya sudah tiada. Serta-merta kenangan itu menerpa di depan mata. Cumanya kali ini hati kecil saya bersuara. Maafkanlah dia. Itu cerita lama. Kisah masa mudahnya. Sudah pasti dia mengharapkan agar akhir kehidupannya bersih daripada segala dosa sama ada dengan Tuhan atau pun manusia. Kita juga banyak salah dan dosa. Tidakkah kita juga berharap akan hal yang sama? Allah terima taubat kita dan dibukakan hati hambaNya untuk memaafkan salah kita.


Wallahu’alam.
Astaghfirullah.




Thursday 14 November 2013

Ikhlas

Teks: Nor Adilah Ahmad Shokori

Bismillah.
Dua hari lepas, Dr. Zulkifli Al-Bakri yang menjadi tetamu jemputan dalam rancangan 30 Minit Ustaz Don ketika menghuraikan tajuk wakaf, beliau turut mengaitkannya dengan kepentingan ikhlas. Beliau bercerita tentang kisah seorang raja pada zaman dahulu yang ingin membina sebuah masjid yang hebat di negaranya. Walau bagaimana pun, raja tersebut mahu agar pembinaan itu dibiayai dengan wang dan hartanya sahaja.

Justeru, tenaga kerja pun dikerahkan untuk membina masjid tersebut sebagai mana yang dikehendaki oleh raja. Setelah masjid itu siap dibina, baginda ingin mengabadikan namanya pada masjid tersebut. Namun pada malamnya, baginda bermimpi di mana dalam mimpinya baginda diarahkan agar menamakan masjid tersebut dengan nama seorang wanita.

Baginda tercari-cari siapakah pemilik nama tersebut. Lalu baginda memanggil pembesar-pembesarnya lalu ditanya kepada mereka jika ada di antara ahli keluarga mereka yang mempunyai nama yang sama seperti yang diilhamkan melalui mimpi kepada baginda. Malangnya, tidak ada seorang pun di kalangan mereka yang mempunyai nama yang serupa.

Maka dihebahkan kepada rakyat jelata berkenaan hal itu dan ditawarkan ganjaran kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat tentang pemilik nama tersebut. Diringkaskan cerita, akhirnya baginda dipertemukan dengan seorang wanita tua yang telah uzur dan miskin.

Baginda bertanya kepadanya adakah wanita tua ini ada memberikan apa-apa sumbangan dalam pembinaan masjid tersebut? Kata wanita tua ini tadi, dia tidak mempunyai apa-apa harta untuk disumbangkan. Tenaga juga telah tiada.

Cuma kebetulan pekerja yang terlibat dalam pembinaan masjid itu akan melalui jalan di hadapan rumahnya, jadi disediakan untuk mereka satu tempayan berisi air untuk mereka minum. Para pekerja ini akan singgah untuk minum setiap kali mereka dalam perjalanan pergi dan balik.

Lihatlah betapa Allah menerima amal baiknya dan memuliakannya. Walaupun jika dilihat dengan mata kasar, raja tersebutlah yang paling layak untuk menamakan masjid tersebut dengan namanya. Sementelah baginda yang menyumbang secara langsung dalam pembinaan  masjid itu,  namun Allah mengangkat seorang wanita yang terlalu jauh perkaitaannya dengan pembinaan rumah Allah itu.

Hanya Allah sahaja yang layak menilai keikhlasan hambaNya kerana ikhlas adalah suatu perkara yang tidak boleh diukur. Tidak juga boleh dilihat dengan mata kasar. Bahkan Imam Al-Ghazali sendiri menggambarkan ikhlas itu ibarat seekor semut hitam di atas batu hitam pada waktu malam yang kelam.

Wallahu’alam.

Astaghfirullah.

Berbaik Sangkalah

Teks : Nor Adilah Ahmad Shokori


Saya berjalan dari satu baris ke satu baris. Perlahan-lahan di celah-celah orang ramai mengharap agar ada yang kasihan lalu diberikan sedikit ruang. Saya sudah tidak peduli dengan jelingan tajam dan pandangan yang kurang menyenangkan tatkala saya memohon agar diberi sedikit laluan untuk saya terus melangkah ke hadapan.


Separuh ruang sudah saya terokai namun tidak ada yang bersimpati. Dalam hati saya memohon bersungguh-sungguh. Saya yakin Dia Maha Mendengar. Cuma ada beberapa baris yang masih berbaki. Mata saya melingas mencari kalau-kalau ada baki tempat duduk yang masih belum diisi. Saya menoleh kiri dan kanan mengharap ada ruang yang saya terlepas pandang.


Nafas dihela panjang. Bukan rezeki saya di sini. Tatkala saya pasrah dan menyerah, nun jauh di barisan hadapan sekali, ada seseorang sedang melambai-lambai dan mengisyaratkan agar saya duduk di sisinya. Saya lihat di situ padat. Masihkah ada ruang untuk saya? Getus hati kecil saya.


Saya turutkan langkah kaki. Apabila saya sampai kepadanya, dia mengalihkan posisi. Dia yang tadinya duduk bersila, mengecilkan duduknya supaya ada ruang untuk saya. Sungguh saya terharu. Tadi saya sangka, dia hanya pentingkan dirinya. Mana tidaknya, dengan keadaan sesak begitu, dia dengan senang hatinya menjamu selera. Isi begnya dikeluarkan satu persatu. Di hadapannya ada roti, yogurt dan kurma.


Apa pun saya bersyukur kerana Allah memakbulkan doa saya. Malah diberinya lebih baik daripada yang saya pinta. Tidak lama selepas itu saya terdengar bunyi bising. Dalam baris yang sama terdapat beberapa orang sedang bertengkar. Saya tidak tahu puncanya kerana bahasa itu cukup asing di telinga saya.


Saya lihat wanita di sebelah saya itu cuba meleraikan pertengkaran yang berlaku sambil tangannya ligat menyimpan makanan yang dikeluarkan tadi. Pertengkaran itu berakhir apabila wanita yang membantu saya tadi memanggil salah seorang yang terlibat untuk duduk di sisinya. Saya tahu ruang yang ada terlalu sempit jadi saya memilih untuk menginjak ke depan. Tambahan pula saiz badan saya yang paling kecil antara semua, tidak ada salahnya saya berkorban sedikit supaya masing-masing punya tempat untuk duduk.


Persepsi saya terhadap wanita di sebelah saya ini telah berubah 360 darjah. Meski tiada segaris senyuman pun di wajahnya, ternyata dia seorang yang baik hatinya. Wajahnya sangat bersahaja. Senyum tidak, masam pun tidak. Awalnya saya sangka dia rakyat tempatan dengan berdasarkan kepada makanan dan pakaiannya. Apatah lagi dia seorang yang tinggi lampai. Saya silap. Setelah mendengar perbualannya di telefon, tahulah saya dia berasal dari negara yang paling ramai penduduknya di dunia.


Dua jam kemudian, orang ramai mula beredar. Di barisan hadapan itu tinggal kami berdua. Dia melunjurkan kaki ke hadapan. Sambil mengurut-urut perlahan. Saya tersenyum melihat perlakuannya. Saya tidak faham sepenuhnya apa yang diucapkan, yang saya tahu malam sebelumnya dia mendaki gunung menjejak sejarah.


Dia akhirnya berlalu meninggalkan saya sendirian di situ. Ada dua pelajaran besar yang saya dapat saya kutip. Pertama, yakin dan harap semata-mata kepada Dia yang Maha Esa. Kedua, bersangka baiklah dengan manusia.


Wallahu’alam.

Astaghfirullah.



Copyright to NOR ADILAH
Designed by UMIESUEstudio 2015